lightning-solid
Berita :
94 Mahasiwa Terengganu Pergi Menuntut Ilmu, Pulang Membina Terengganu – Satiful
94 Mahasiwa Terengganu Pergi Menuntut Ilmu, Pulang Membina Terengganu – Satiful
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
21

HULU TERENGGANU, 12 Ogos – Seramai 94 mahasiswa Terengganu yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah diingatkan supaya tidak melihat peluang berkenaan sekadar untuk memperoleh ijazah, sebaliknya memikul amanah untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, mahasiswa berkenan merupakan sebahagian daripada aset dan modal insan penting yang bakal menentukan masa depan Terengganu.

Katanya, peluang menuntut ilmu di luar negara perlu dimanfaatkan dengan mengumpul pengetahuan, pengalaman, kemahiran serta jaringan antarabangsa yang boleh dibawa pulang untuk manfaat masyarakat.

“Kerajaan menghantar saudara untuk menuntut ilmu, tetapi kerajaan mengharapkan saudara pulang untuk memberi. Itulah amanah yang paling besar,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Jati Diri Mahasiswa Terengganu ke Timur Tengah Sesi 2026 di Kompleks Desa Taqwa, Kuala Telemong, semalam. 

Menurutnya, mahasiswa akan berdepan persekitaran akademik dan budaya yang berbeza sepanjang berada di luar negara.

Justeru katanya, mereka perlu menggunakan peluang itu untuk membuka minda, mempelajari bahasa, membina jaringan dan memahami kekuatan  serta pengalaman negara lain.

“Jangan hanya menjadi pelajar Terengganu di luar negara. Jadilah penghubung Terengganu dengan dunia.

“Mungkin suatu hari nanti, jaringan yang saudara bina di Mesir, Jordan, Tunisia, Algeria, Libya, Oman atau negara-negara lain akan menjadi jambatan kepada hubungan yang lebih luas antara Terengganu dengan dunia,” ujarnya.

Dalam masa sama, Satiful mengingatkan mahasiswa supaya tidak mengabaikan identiti, prinsip dan nilai yang dibawa dari Terengganu walaupun berada jauh di perantauan.

Katanya, kejayaan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya mahasiswa gagal membentuk jati diri, disiplin dan akhlak yang baik.

“Jangan jadikan kebebasan sebagai alasan untuk lalai. Jangan jadikan keseronokan sebagai penghalang kepada pengajian dan jangan jadikan kejayaan sebagai sebab untuk melupakan asal-usul.

“Kita mahu saudara bukan sekadar mencari masa depan, tetapi suatu hari nanti membina masa depan Terengganu,” tambah beliau. 

Beliau turut menekankan kepentingan mahasiswa menjaga hubungan dengan Allah SWT, menghargai pengorbanan ibu bapa dan mengurus masa, kewangan, emosi, pergaulan  serta keselamatan sepanjang berada di luar negara.

Katanya, perkara berkenaan antara persediaan penting yang diterapkan menerusi Kursus Jati Diri Mahasiswa Terengganu ke Timur Tengah Sesi 2026.

Kursus tersebut turut memberi penekanan terhadap aspek jati diri, kemahiran insaniah, komunikasi, pengurusan diri, keselamatan, pengurusan kewangan serta pematuhan kepada peraturan negara dan institusi pengajian.

Satiful menambah, kerajaan negeri mahu melahirkan generasi Terengganu yang berilmu, berkemahiran, berakhlak, berdaya saing dan mempunyai kesedaran untuk berbakti kepada masyarakat.

“Pergilah sebagai pelajar. Pergilah dengan niat mencari ilmu, dengan doa ibu bapa, restu guru dan membawa nama Terengganu.

“Apabila tiba masanya nanti, pulanglah sebagai pembina – pembina keluarga, masyarakat, generasi dan Terengganu,”katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan