Berita :
Agensi Persekutuan Diingatkan Tidak Membelakangkan Kerajaan Terengganu
Agensi Persekutuan Diingatkan Tidak Membelakangkan Kerajaan Terengganu
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
120

KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu mengingatkan agensi serta jabatan Kerajaan Persekutuan di negeri ini agar tidak bergerak bersendirian atau membelakangkan pentadbiran negeri dalam melaksanakan sebarang program pembangunan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim mendedahkan, terdapat segelintir agensi dalam keluarga pertanian yang dikesan menganjurkan program di bumi Terengganu tanpa memaklumkan mahupun melibatkan kerajaan negeri.

Menurut beliau, situasi tersebut jelas berbeza berbanding penggal lalu di mana hubungan antara kedua-dua pihak sangat utuh sebagai satu pasukan, namun rentak itu dilihat mula berubah sejak memasuki era 'Malaysia Madani'.

"Setakat ini kita gunakan pendekatan memberi nasihat. Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama.

"Tak kisahlah siapa pun bos awak di Putrajaya kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu. Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan," katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial rasmi beliau.

Dr Azman turut menjelaskan bahawa landskap pentadbiran di Terengganu agak unik kerana kerajaan negeri sentiasa komited menyalurkan peruntukan kewangan yang besar bagi menyokong operasi jabatan dan agensi Persekutuan demi manfaat sektor rantaian makanan setempat.

Sebagai bukti komitmen tersebut, beliau memperincikan bahawa kerajaan negeri menyalurkan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mendanai Skim Pinjaman Modal Tani.

Selain itu, Jabatan Perikanan Malaysia turut menerima peruntukan melebihi RM4 juta setahun daripada kerajaan negeri bagi menggerakkan program berimpak tinggi seperti pembiakan tukun, penyediaan unjam, pelepasan benih ikan, dan pelbagai siri bantuan nelayan.

"Bila Kerajaan Negeri nak ajak berbaik, bukannya kita nak minta duit. Kita ingin saling membantu dan memanfaatkan.

"Malah, Kerajaan Negeri berusaha keras untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian bagi disalurkan kepada Agensi dan Jabatan Persekutuan di Terengganu. Hasilnya kita berjaya," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu lagi.

Tegas Dr Azman, hasrat kerajaan negeri untuk bekerjasama rapat bukanlah bersandarkan kepada agenda politik atau kepentingan peribadi, sebaliknya demi kelancaran gerak kerja untuk memayungi golongan petani, penternak, dan nelayan di Terengganu.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengetepikan publisiti politik asalkan kebajikan rakyat dapat diutamakan melalui kerjasama yang harmoni antara negeri dan Persekutuan.

"Kalau mereka yang memegang jawatan di atas inginkan keuntungan politik, silakan ambil. Saya tak berhajat dengan (mileage) politik murahan," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan