Jalur Gemilang
Berita :
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Gesa Projek Pelabuhan Chendering Dipercepat
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Gesa Projek Pelabuhan Chendering Dipercepat
Rohayati Ripin
36 minit yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Projek menaik taraf dan pemulihan Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering bernilai RM192 juta perlu dipercepatkan berikutan kemudahan berkenaan berdepan masalah pemendapan pasir serius yang menjejaskan pergerakan kapal dan bot nelayan bersaiz besar.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kerosakan benteng pemecah ombak (breakwater) dan kekurangan saiz struktur berkenaan menyebabkan kemasukan serta pemendapan pasir sehingga sebahagian kawasan besin pelabuhan tidak lagi dapat digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan sejak 2021 dan kelulusan peruntukan RM192 juta pula telah disahkan Menteri berkaitan pada 2023 melalui sidang kamar khas di Parlimen.

Walau bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan selepas dimaklumkan berlaku pertukaran perunding yang menyebabkan proses kajian dan reka bentuk projek mengambil masa lebih panjang.

“Diberitahu kepada kami dua tahun, kemudian selepas itu hendak laksana mengambil masa lagi lima tahun. Saya telah memberikan teguran ketika taklimat berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Ahmad Amzad menambah, tempoh pelaksanaan tersebut wajar dipendekkan kerana projek berkenaan penting kepada sektor perikanan dan kepentingan nelayan di Terengganu.

“Saya minta supaya diberi penekanan supaya projek ini bukannya disiapkan selepas tahun 2033 seperti yang dirancangkan. 

"Sepatutnya boleh disiapkan lebih awal, dua tahun maksimum pada saya perkara ini dapat diselesaikan sekiranya semua jentera berjalan seperti mana sepatutnya,” ujarnya.

Ahmad Amzad berkata beliau turut menemui Menteri berkenaan di Parlimen kelmarin bagi menyatakan kebimbangan terhadap tempoh pelaksanaan projek itu dan akan membangkitkannya dalam perbahasan Belanjawan minggu depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata, projek naik taraf dan pembinaan benteng pemecah ombak dan kerja pengorekan penyelenggaraan (maintenance dredging) di Pelabuhan LKIM Chendering masih dalam proses perancangan dan penyelarasan.

Katanya, Surat Setuju Terima (SST) projek berkenaan dijangka dikeluarkan pada Disember 2027, dengan pelaksanaannya melibatkan penyelarasan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Berdasarkan jadual semasa, SST dijangka dikeluarkan pada Disember 2027,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Hanafiah, JPS Malaysia turut membuat semakan semula terhadap jadual perancangan projek bagi memastikan pelaksanaan kerja dapat diselaraskan dengan keperluan teknikal dan keadaan tapak.

Katanya, Kajian Alam Sekitar dan Hidraulik telah dimulakan pada 8 April 2026, manakala sesi Pra-Value Engineering (Pra-VE) dan Makmal Value Engineering (VE) masing-masing dijadualkan pada 27 Ogos dan 11 September 2026.

“Penyelarasan antara JPS dan JKR turut diberi perhatian khusus bagi memastikan skop projek, jadual pelaksanaan, akses tapak serta pengurusan risiko dapat diselaraskan dan tidak berlaku pertindihan kerja,” katanya.

Tambah beliau, komponen JKR dijangka siap secara berperingkat pada Februari 2029 dan Februari 2031, manakala komponen JPS pula dijangka siap pada Ogos 2032.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan