BESUT, 14 Ogos - Kerajaan Terengganu kini menunggu keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung masa pelaksanaan sepenuhnya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri telah menyelesaikan tanggungjawabnya selepas menghantar nota tanda bersetuju untuk menyertai pelaksanaan Akta 672.
Menurutnya, keputusan mengenai bila dan ketika yang sesuai untuk pelaksanaan akta berkenaan kini terletak di tangan Kerajaan Persekutuan menerusi KPKT.
“Sekarang perkara ini berada di pihak Kerajaan Persekutuan, pihak KPKT untuk menentukan bila Akta 672 ini akan dapat dilaksanakan di Terengganu.
“Tanggungjawab kita di pihak kerajaan negeri telah pun selesai apabila kita menghantar nota tanda bersetuju untuk menyertai Akta 672,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program, di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut meneruskan usaha menaik taraf dan memastikan Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan dapat beroperasi dengan sebaik mungkin.
Katanya, usaha tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga masalah pengurusan dan pelupusan sampah di tapak berkenaan dapat ditangani dengan lebih baik.
“Memang kita ada usaha dan usaha itu memang telah pun kita lakukan dan insya-Allah akan kita lakukan lagi sehinggalah Tapak Pelupusan Sampah di Sungai Ikan itu dapat beroperasi dengan sebaik-baiknya,” tambah beliau.