KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Seramai 23 pemimpin pelajar anak Terengganu berjaya mencipta sejarah apabila menjayakan misi antarabangsa pertama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan menerusi Program PERMATA Global Care (PGC) 1.0 yang berlangsung di Pattani, Selatan Thailand.
Program yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mei itu bukan sahaja menumpukan kepada bantuan kemanusiaan, malah turut membuka ruang diplomasi belia dan pembangunan kepimpinan global melalui kerjasama dengan Prince of Songkla University (PSU) dan Model Organization of Islamic Cooperation (MOIC) Thailand.
Pengarah Program, Othman Hanif Zuzehan berkata, misi tersebut berjaya melaksanakan amanah rakyat Terengganu melalui pengurusan ibadah korban melibatkan tiga ekor lembu serta pengagihan 500 helai pakaian infaq kepada komuniti Islam yang memerlukan di Sai Buri.

“PGC 1.0 membuktikan bahawa anak muda Terengganu bukan sahaja mampu cemerlang di dalam negara, malah berupaya menggalas tanggungjawab besar di peringkat antarabangsa dengan penuh integriti dan profesionalisme.
“Walaupun berdepan beberapa cabaran sepanjang misi, semua amanah infak rakyat Terengganu berjaya disampaikan kepada penerima yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan, pendidikan berkualiti serta pengukuhan kerjasama antarabangsa.

Kejayaan program sulung itu disifatkan sebagai langkah penting dalam mengangkat imej Terengganu di pentas global, di samping melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwawasan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Tag :