lightning-solid
Berita :
Besut-Pasir Puteh Bentuk Koridor Pelancongan, Kuala Besut-Tok Bali Jadi Nadi Pergerakan Pelancong
Besut-Pasir Puteh Bentuk Koridor Pelancongan, Kuala Besut-Tok Bali Jadi Nadi Pergerakan Pelancong
Rohayati Ripin
15 jam yang lepas
475

Oleh : Amir Ab Rahim

BESUT, 9 Ogos – Majlis Daerah Besut (MDB) memeterai kerjasama strategik bersama Nasrom Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi membentuk rangkaian pelancongan yang menghubungkan Besut, Terengganu dengan Pasir Puteh, Kelantan, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan laluan dan kemudahan pelancongan dengan memanfaatkan rangkaian Jeti Kuala Besut dan Tok Bali sebagai antara akses strategik bagi pergerakan pelancong ke destinasi pelancongan utama, khususnya Pulau Perhentian.

Yang Dipertua MDB, Mohamad Ridwan Mohd Nor berkata, kerjasama dengan pihak swasta itu penting bagi meningkatkan aliran kemasukan pelancong ke Besut, selain memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.

“Usaha sama ini bertujuan memperkenalkan Besut sebagai lokasi percutian pilihan, sekali gus memberi keuntungan kepada penduduk, peniaga tempatan dan industri pelancongan secara menyeluruh.

“Langkah ini diharap dapat mendorong pembangunan yang berterusan serta membawa kemajuan kepada kedua-dua daerah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, penglibatan sektor swasta dalam pembangunan pelancongan mampu memperkukuh ekosistem industri termasuk dari aspek pergerakan pelancong, perkhidmatan sokongan dan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasrom Travel & Tours Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Khairey dan Datin Saa berkata, pihaknya komited menyediakan laluan pelancongan yang lebih cekap dengan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian jeti sedia ada.

“Kerjasama strategik ini akan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian jeti sedia ada bagi memastikan pergerakan pelancong yang lebih lancar, selesa dan efisien ke destinasi utama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kemudahan infrastruktur di Jeti Kuala Besut dan Jeti Tok Bali akan terus diberi perhatian sebagai komponen penting dalam mengukuhkan jaringan pelancongan antara kedua-dua daerah.

"Kerjasama itu dijangka bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Perhentian, malah membuka ruang lebih luas kepada pengusaha penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, perusahaan kecil serta penggiat pelancongan tempatan untuk menerima limpahan ekonomi," ujar beliau.

Beliau menambah, usaha berkenaan turut dilihat berpotensi menjadikan Besut dan Pasir Puteh sebagai satu rangkaian destinasi pelancongan yang saling melengkapi, khususnya melalui pengukuhan hubungan antara infrastruktur pengangkutan, jeti dan produk pelancongan di kedua-dua negeri.


Tag :

Artikel Berkaitan