lightning-solid
Berita :
Bukan Hanya Penerima Bantuan, OKU Juga Penyumbang Kepada Negeri
Bukan Hanya Penerima Bantuan, OKU Juga Penyumbang Kepada Negeri
Adli Mohamad
3 jam yang lepas
75

MARANG, 14 Ogos – Kerajaan Terengganu mahu mengubah pendekatan terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada sekadar kebajikan kepada pemerkasaan, dengan membuka lebih banyak peluang untuk golongan itu berdikari dan berjaya dalam bidang masing-masing.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, bantuan kebajikan tetap penting, namun komuniti OKU juga perlu diberikan ruang untuk berkembang sebagai usahawan, atlet, penggiat seni, pemimpin komuniti dan individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap agenda kebajikan dan pembangunan komuniti OKU. Kita tidak mahu pembangunan negeri hanya diukur melalui pembangunan fizikal.

“Sebaliknya, pembangunan yang sebenar ialah apabila setiap rakyat dapat merasai manfaat pembangunan tersebut, termasuk komuniti OKU.

“Kita mahu melihat OKU diberikan ruang untuk belajar, bekerja, berniaga, bersukan, berkarya dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan OKU Terengganu 2026 di Dewan Tok Guru, Marang yang turut disertai sesi Dialog (Town Hall) bersama Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Nor.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata kerajaan negeri turut menghargai pengorbanan ibu bapa dan penjaga yang memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak OKU mendapat pendidikan, rawatan, perhatian serta peluang terbaik.

“Pengorbanan masa, tenaga, kewangan dan emosi untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan, rawatan, perhatian dan peluang yang terbaik.

“Kerajaan negeri amat menghargai pengorbanan tersebut. Insya-Allah, usaha untuk memperkukuhkan sokongan kepada keluarga OKU akan terus menjadi perhatian kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) atas kejayaan menganjurkan program berkenaan serta peranan tujuh persatuan di bawah naungannya.

Persatuan terbabit ialah Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) Terengganu, Persatuan Orang Pekak Negeri Terengganu, Persatuan Autisme Negeri Terengganu, Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu dan Persatuan Anak Istimewa Darul Itqan Terengganu.

“Ketujuh-tujuh persatuan ini mempunyai latar belakang, pengalaman dan fokus yang berbeza, namun semuanya membawa satu perjuangan yang sama iaitu memastikan komuniti OKU mendapat hak, peluang, kebajikan dan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan