KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Bendera besar yang dilihat seolah-olah tidak mempunyai lambang bulan dan bintang sebenarnya merupakan bendera lama yang mengalami kerosakan akibat angin kuat.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, bendera berkenaan telah pun diturunkan dan digantikan dengan bendera baharu pada Sabtu lalu.
Menurutnya, bendera bersaiz besar seperti itu tidak dicetak dalam satu bahagian, sebaliknya perlu dijahit dan dicantumkan sebelum dipasang.
"Terdapat kemungkinan bahagian jahitan yang mengandungi lambang bulan dan bintang tercabut akibat angin kuat yang berlaku pada Jumaat atau Sabtu lalu.
"Bahagian lambang pada sebelah lagi, katanya, masih berada dalam keadaan asal,"ujarnya.
Beliau berkata, bendera berkenaan merupakan bendera lama sementara bendera besar yang baharu masih belum diterima.
“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan," jelasnya lagi.
Lizan berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menurunkan bendera terbabit dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri tetap akan melakukan siasatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Apa pun kita (kerajaan negeri) akan melakukan siasatan dan memastikan perkara tu tidak akan berulang lagi.
“Walau siapa jua yang memasang bendera itu termasuklah orang awam atau sebagainya,” katanya.