lightning-solid
Berita :
Cabaran Saat Akhir Tidak Halang Pembukaan Primula By The Lake
Cabaran Saat Akhir Tidak Halang Pembukaan Primula By The Lake
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
431

KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Berdepan pelbagai cabaran dalam tempoh yang amat singkat bukan menjadi penghalang kepada pengurusan Hotel Primula By The Lake untuk membuka semula operasinya mengikut jadual pada 1 Julai. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, keputusan untuk mengendalikan sendiri operasi hotel dibuat selepas operator yang sebelum ini dijangka mengambil alih pengurusan menarik diri pada saat akhir.

Menurut beliau, situasi itu memerlukan pihak pengurusan bertindak pantas bagi memastikan semua aspek operasi dapat disiapkan dalam tempoh yang terhad tanpa menjejaskan sasaran pembukaan semula hotel sekali gus memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada pelanggan serta menyokong sektor pelancongan negeri.

“Cabaran yang kami hadapi memang besar. Selepas dimaklumkan operator lain tidak jadi mengambil alih hotel ini, pihak pengurusan membuat keputusan untuk menguruskan sendiri operasi hotel.

“Hotel-hotel di bawah naungan Terengganu Inc., iaitu Paya Bunga Hotel, Primula Beach Hotel dan Permai Inn, komited sepenuhnya dalam memastikan kejayaan proses pengambilalihan operasi berjalan dengan lancar dan teratur.

“Dalam tempoh yang singkat, kami perlu membuat pelbagai persiapan termasuk membentuk pasukan kerja, menyediakan sistem operasi, mendapatkan kelengkapan yang diperlukan serta menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran sebelum hotel dibuka,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran utama yang dihadapi ialah penyediaan tenaga kerja, proses perolehan peralatan dan bekalan, penyelarasan operasi harian serta memastikan setiap bahagian bersedia memberikan perkhidmatan berkualiti kepada tetamu sebaik hotel kembali beroperasi.

Katanya, kejayaan membuka semula hotel mengikut jadual adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga kerja yang sanggup bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai tugasan dalam tempoh yang singkat.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama dan dedikasi semua pihak, kita berjaya mengatasi setiap cabaran yang timbul. Pembukaan semula ini membuktikan kemampuan pasukan pengurusan mengendalikan operasi hotel secara profesional walaupun berdepan kekangan masa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan, rakan strategik dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan proses pembukaan semula hotel.

Pembukaan semula Hotel Primula By The Lake dijangka memberi nilai tambah kepada industri pelancongan dan hospitaliti di Terengganu, selain menawarkan semula kemudahan penginapan serta lokasi penganjuran pelbagai program, mesyuarat dan acara kepada pelanggan dalam dan luar negeri.


Tag :

Artikel Berkaitan