lightning-solid
Berita :
Kemalangan Maut di Setiu: ADUN Langkap Mahu Tingkat Keselamatan Jalan Raya
Kemalangan Maut di Setiu: ADUN Langkap Mahu Tingkat Keselamatan Jalan Raya
Ariss Alias
16 jam yang lepas
293

SETIU, 7 Julai -Satu kemalangan maut membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori dan dua buah kereta berlaku di Kilometer 50, Simpang Tiga Kampung Batu 29, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu–Kota Bharu kira-kira jam 3.50 petang semalam.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Setiu, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah Kota Bharu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Axia yang sedang berhenti untuk memasuki simpang di sebelah kanan.

Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia terbabit memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Proton Iswara yang datang dari arah Kuala Terengganu.

Pemandu Perodua Axia, Rosmawati Ismail, 58 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu. Sementara itu, pemandu Proton Iswara yang berusia 58 tahun mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan sedang menerima rawatan di hospital.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof, berkata beliau akan berbincang dengan pihak berwajib bagi mencari penyelesaian serta langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan risiko keselamatan semua pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.


"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," katanya. 

Beliau berkata sedemikian ketika ditemubual oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melawat ahli keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Setiu.

Beliau turut berharap semua pihak terus mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.


Tag :

Artikel Berkaitan