lightning-solid
Berita :
Cempedak Langkap Laku Keras
Cempedak Langkap Laku Keras
Ariss Alias
11 jam yang lepas
104

SETIU, 13 Ogos - Musim cempedak yang bermula sejak pertengahan Julai lalu membawa rezeki kepada peniaga buah-buahan di Kampung Sungai Bari, di sini, apabila permintaan terhadap cempedak Langkap terus mendapat sambutan. 

Bagi peniaga Abdul Halim Muda, 54, yang sudah 25 tahun berniaga, kira-kira 100 kilogram cempedak mampu dijual setiap hari sepanjang musim berkenaan, dengan harga sekitar RM6 sekilogram. 


Beliau berkata musim cempedak di kawasan Langkap biasanya berlangsung kira-kira dua bulan, dengan waktu petang menjadi antara tempoh paling sibuk apabila pelanggan mula singgah membeli. 

“Pelanggan bukan sahaja penduduk tempatan, malah pengguna jalan raya yang melalui laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu turut singgah membeli. 

“Selain itu, ada juga pelanggan dari Kuala Berang dan Kota Bharu yang datang khusus untuk mendapatkan cempedak Langkap,” katanya. 

Menurut Abdul Halim, cempedak Langkap mempunyai keistimewaan tersendiri kerana isinya yang molek, selain keadaan tanah di kawasan itu yang sesuai untuk tanaman buah-buahan. 

Beliau berkata bekalan cempedak diperoleh dari Kampung Pengkalan Merbau dan kawasan sekitar bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang musim. 

“Cempedak ini memang ada peminatnya, tetapi bekalan semakin sukar diperoleh kerana semakin ramai pemilik kebun menebang pokok buah-buahan untuk ditanam dengan kelapa sawit,” katanya. 

Abdul Halim berkata jualan cempedak menjadi antara sumber pendapatan bagi peniaga buah-buahan di kawasan itu, terutama ketika musimnya tiba. 

Selepas musim cempedak berakhir, beliau biasanya beralih kepada jualan lemang bagi meneruskan perniagaan. 

Beliau berharap tanaman cempedak Langkap terus dipelihara dan diusahakan oleh generasi akan datang supaya bekalannya dapat dikekalkan, sekali gus memastikan buah berkenaan terus menjadi antara hasil tempatan yang mendapat permintaan.


Tag :

Artikel Berkaitan