HULU TERENGGANU, 26 September – Karnival Berakit Jejak Pahlawan, DUN Telemong yang mengangkat sejarah dan warisan masyarakat setempat akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri sebagai antara produk unik untuk menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar aktiviti sukan, sebaliknya mempunyai nilai sejarah yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Hulu Terengganu suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, program berakit yang kini memasuki tahun keenam itu berpotensi dikembangkan dengan pelbagai pengisian baharu bagi menjadikannya lebih unik dan menarik.
“Program ini bagi saya luar biasa kerana dianjurkan berturut-turut selama enam tahun. Ia bukan sekadar sukan biasa tetapi turut mengingati sejarah Hulu Terengganu apabila pahlawan-pahlawan dahulu berakit dari hulu ke hilir.
“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan masukkan program ini dalam kalendar pelancongan dan kita akan berbincang dengan penganjur untuk menambah nilai serta memperluaskan lagi pengisiannya,” katanya.

Razali berkata, penganjuran tahun ini disertai kira-kira 50 peserta menerusi dua kategori iaitu kategori rakit laju dan kategori rakit berhias.

“Kita lihat sungai ini cantik, jadi mungkin tahun hadapan kita campurkan dengan lumba perahu dan apa-apa aktiviti yang boleh dikembangkan supaya program ini menjadi lebih unik dan berwawasan.
“Kalau boleh, kita juga mahu memperluaskan penyertaan dengan menjemput peserta dari seluruh daerah atau 32 daerah (DUN) di Terengganu.
“Dengan cara itu, setiap kawasan boleh menghantar wakil masing-masing dan ia secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai orang datang menyaksikan perlumbaan,” katanya.
