KUALA TERENGGANU, 12 November - Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan pesanan kepada umat Islam di negeri itu agar sentiasa mempelajari al-Quran bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
"Muslimin dan muslimat sekalian, Beta menyeru umat Islam agar terus mendekatkan diri dengan al-Quran melalui pembacaan yang betul, tertib dan menepati kaedah serta hukum tajwid.
"Ketepatan bacaan ini wajar diberikan perhatian agar setiap lafaz al-Quran dapat dibaca dengan sebaik-baiknya serta terpelihara maknanya.
"Mudah-mudahan usaha kita memelihara ketepatan bacaan al-Quran menjadi sebahagian daripada tanda kecintaan, penghormatan dan penghayatan kita terhadap al-Quran di samping memperoleh ganjaran daripadanya juga, insya-Allah," titah baginda.
Titah Diraja itu disampaikan baginda bersempena Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri, hari ini.
Tengku Muhammad Ismail turut mengingatkan bahawa puncak penghayatan al-Quran ialah pembentukan akhlak yang mulia dan terpuji.
"Umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran bukan sekadar kitab yang dibaca, tetapi sebagai pedoman yang dihayati, nilai yang dipegang dan panduan yang diamalkan.
"Melalui generasi kanak-kanak dan belia yang dekat dengan al-Quran. Kita percaya akan lahir barisan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja berkemahiran dan berdaya saing, bahkan mempunyai integriti, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara," titah Baginda.
Dalam majlis malam ini, Abdul Hadi Che Ab Halim dinobatkan sebagai johan Qari bagi negeri Terengganu.
Manakala, johan Qariah diraih Nor Jannah Abd Rahman.
Sementara itu, johan Hafazan Al-Quran lelaki (1-30 Juzuk) diungguli Kamarul Irfan Kamarul Ariffin dan johan Hafazan Al-Quran perempuan (1-30 Juzuk) menjadi milik Auni Solehah Tazudin.
Kesemua mereka akan mewakili Negeri Terengganu ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Sarawak, pada 3 hingga 8 Mei 2027.