KUALA TERENGGANU, 27 September – Kesihatan tidak boleh lagi dilihat hanya dari sudut bebas daripada penyakit atau kecergasan fizikal, sebaliknya kesejahteraan mental dan emosi perlu diberi perhatian sama penting dalam memastikan seseorang mampu menjalani kehidupan serta melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, aspek berkenaan semakin penting khususnya dalam kalangan penjawat awam yang berdepan tuntutan tugas, tekanan kerja dan pelbagai cabaran kehidupan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Bernama pada 21 September lalu, seramai 55,000 penjawat awam yang menjalani saringan melalui Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan sebagai berisiko tinggi, termasuk mempunyai kecenderungan tingkah laku bunuh diri.
“Angka ini perlu diberi perhatian serius. Kesihatan tidak hanya berkaitan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan mental dan emosi.
“Tekanan kerja, tuntutan tugas dan cabaran kehidupan perlu diurus dengan baik supaya tidak menjejaskan kesihatan serta prestasi seseorang,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, keseimbangan antara kerja dan kehidupan atau work-life balance juga perlu diberi perhatian bagi memastikan penjawat awam dapat melaksanakan amanah dengan fokus, produktif dan berkesan.
Katanya, keseimbangan tersebut bukan bermaksud mengurangkan komitmen terhadap tugas, sebaliknya memastikan kesihatan fizikal, mental dan emosi sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Penjawat awam mesti terus mengekalkan disiplin, komitmen dan tahap profesionalisme yang tinggi. Dalam masa sama, pengurusan masa, rehat yang mencukupi dan persekitaran kerja yang sihat penting bagi memastikan prestasi dapat dikekalkan secara konsisten,” katanya.

Katanya, ketua jabatan perlu peka terhadap kebajikan serta beban tugas kakitangan di bawah seliaan masing-masing kerana warga kerja yang sihat dan sejahtera merupakan antara asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan.
“Dalam konteks perkhidmatan awam, perkhidmatan yang cemerlang memerlukan bukan sahaja sistem yang baik dan proses kerja yang cekap, tetapi juga warga yang sihat, berdisiplin, berdaya tahan dan berprestasi tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pendekatan terhadap kesihatan tidak seharusnya hanya bermula apabila seseorang jatuh sakit, sebaliknya masyarakat perlu bergerak daripada budaya merawat kepada mencegah.
Katanya, usaha tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan empat teras utama iaitu Promosi Pembudayaan Hidup Sihat, Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Kawalan Kesihatan Kendiri dan Kebersihan Persekitaran.
“Kesihatan mesti menjadi budaya, bukan sekadar kempen. Perubahan besar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten,” katanya.