Jalur Gemilang
Berita :
Langkap Berpotensi Jadi Destinasi Ekopelancongan, Pacu Ekonomi Komuniti
Langkap Berpotensi Jadi Destinasi Ekopelancongan, Pacu Ekonomi Komuniti
Ariss Alias
8 jam yang lepas
115

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan komuniti menerusi penggabungan beberapa lokasi tarikan alam semula jadi bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat. 

ADUN Langkap Azmi Maarof berkata antara lokasi yang mempunyai potensi besar ialah Lata Ulu Kasar, Lata Payung, Gunung Sarut dan Setiu Adventure Park. 


Beliau berkata pembangunan secara lebih tersusun, termasuk penyediaan kemudahan asas dan promosi lebih agresif, mampu menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar Terengganu.

"Saya juga ingin mencadangkan supaya satu pakej pelancongan bersepadu diwujudkan dengan menghubungkan Lata Ulu Kasar, Lata Payung, Gunung Sarut dan Setiu Adventure Park," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pelancong berada lebih lama di kawasan berkenaan sekali gus meningkatkan perbelanjaan dalam komuniti setempat.

Beliau turut mencadangkan supaya kemudahan tandas awam, tempat letak kenderaan dan papan tanda dinaik taraf, selain akses jalan masuk ke lokasi pelancongan diperbaiki.
Azmi berkata usaha promosi menerusi platform digital juga perlu diperkukuh, di samping menyediakan latihan kepada pengusaha inap desa, pengusaha rekreasi dan pemandu pelancong. 

Katanya, penduduk kampung perlu diberikan peluang lebih luas untuk menceburi perniagaan makanan, kraftangan dan penghasilan produk tempatan supaya pembangunan pelancongan dapat memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan