Jalur Gemilang
Berita :
Projek Tebatan Banjir di Setiu Perlu Dipercepat
Projek Tebatan Banjir di Setiu Perlu Dipercepat
Ariss Alias
8 jam yang lepas
177

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Terengganu diminta mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir serta menaik taraf kemudahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan Langkap dan daerah Setiu bagi mengurangkan risiko serta kesan bencana terhadap penduduk. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata kejadian banjir berulang, khususnya ketika musim tengkujuh, bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda dan kenderaan, malah menjejaskan tanaman, persekolahan anak-anak serta sumber pendapatan keluarga. 

Beliau berkata pendekatan menangani banjir tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan selepas bencana berlaku, sebaliknya perlu beralih kepada langkah pencegahan dan penyelesaian lebih menyeluruh. 

"Saya ingin menegaskan bahawa pendekatan menangani banjir tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan selepas bencana berlaku. Kita perlu beralih kepada pendekatan pencegahan dan penyelesaian yang lebih menyeluruh," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. 

Beliau mencadangkan supaya penyelenggaraan sungai, parit dan sistem saliran dilakukan secara berkala selain mengenal pasti lokasi yang memerlukan kerja mendalamkan sungai serta menaik taraf saliran. 

Azmi turut meminta supaya sistem amaran awal dan penyelarasan bantuan bencana ditambah baik bagi memastikan penduduk dapat membuat persediaan lebih awal. 

Dalam pada itu, beliau mahu kemudahan PPS di Langkap diberikan perhatian khusus, termasuk aspek tandas, bekalan air, ruang penempatan, tempat memasak serta kemudahan untuk warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). 


Beliau berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan bagi mempercepat projek penyelesaian banjir yang masih diperlukan di daerah itu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan