Jalur Gemilang
Berita :
Atasi Kesesakan, Besut Mohon Bina Jeti Khas di Pulau Perhentian
Atasi Kesesakan, Besut Mohon Bina Jeti Khas di Pulau Perhentian
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
7 jam yang lepas
88

KUALA LUMPUR, 17 November — Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan sebuah pelan pembangunan pelancongan bersepadu bagi daerah Besut dan Pulau Perhentian bagi memastikan limpahan ekonomi sektor tersebut benar-benar dinikmati oleh penduduk tempatan, bukan sekadar tertumpu kepada segelintir pengusaha.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegaskan, kejayaan industri pelancongan tidak wajar diukur berdasarkan rekod jumlah kehadiran pelawat semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi peningkatan pendapatan rakyat, kewujudan peluang pekerjaan serta manfaat langsung kepada peniaga kecil.

"Jika jumlah pelawat meningkat tetapi keuntungan hanya tertumpu kepada segelintir pengusaha sahaja, pembangunan belum dapat dicapai," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pelan bersepadu itu perlu menggabungkan aspek peningkatan keselamatan pengangkutan laut, latihan kepada pengusaha tempatan, pembiayaan perusahaan mikro dan kecil (PMKS) serta program pemuliharaan alam sekitar.

Dalam pada itu, merujuk kepada Butiran 010500 (Pembangunan Prasarana), beliau membangkitkan jurang ketara antara potensi besar Pulau Perhentian dengan tahap kemudahan asas yang masih daif.

Sehubungan itu, beliau memohon penjelasan sama ada peningkatan bajet dalam butiran berkenaan akan memberi manfaat langsung kepada Besut, selain mendesak pembinaan sebuah jeti khas untuk pelancong di pulau peranginan tersebut.

"Saya pohon pihak kementerian membina sebuah jeti khas di Pulau Perhentian untuk menyambut ketibaan pelancong, memandangkan jeti sedia ada digunakan untuk pelbagai urusan termasuk pemunggahan barang-barang sehingga menimbulkan isu kesesakan dan kebersihan," tegasnya.

Selain jeti, beliau turut menekankan keperluan mendesak bagi menaik taraf tandas awam dan infrastruktur pengurusan sisa pepejal demi menjamin keselesaan pelancong serta pengusaha setempat.

Menyentuh Butiran 030400 (Warisan Negara), Che Mohamad Zulkifly turut meminta perhatian serius kementerian terhadap pemuliharaan beberapa aset sejarah dan budaya bernilai tinggi di Besut.

Antara yang disenaraikan termasuklah Surau Jamhuriah di Pekan Kuala Besut yang diwartakan sebagai tapak warisan sejak 2012, Istana Tengku Anjang (1878), tapak asal Istana Tengku Long di Kampung Raja, serta Masjid Lama Kampung Raja (1895) dan Makam Raja-Raja Besut.

Beliau turut mengiktiraf sumbangan Besut dalam melahirkan tokoh Adiguru Kraf dan Seniman Negara dalam seni ukiran kayu halus seperti Allahyarham Haji Wan Su dan Allahyarham Tengku Ibrahim yang wajar terus dipelihara sebagai identiti warisan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan