KUALA TERENGGANU, 17 November – Wanita diingatkan supaya tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan dan mengelak daripada bergantung sepenuhnya kepada rawatan tradisional atau khidmat bomoh apabila berdepan masalah kesihatan.
Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (KHAIRUNNISA’), To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, pemeriksaan di fasiliti kesihatan dan nasihat doktor bertauliah amat penting, khususnya bagi mengesan kanser payudara pada peringkat awal.
Menurutnya, wanita sering memberikan tumpuan kepada tanggungjawab menguruskan suami, anak-anak dan keluarga sehingga terlupa kepentingan menjaga kesihatan diri sendiri.
“Jangan biarkan rasa takut atau malu menghalang kita daripada mendapatkan pemeriksaan, kerana pengesanan awal kanser payudara amat penting dalam menentukan peluang dan keberkesanan rawatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam memberikan kekuatan kepada pesakit yang sedang berdepan ujian penyakit berkenaan.
Katanya, kehadiran, perhatian dan kasih sayang insan terdekat mampu menjadi sumber semangat kepada pesakit untuk terus tabah menjalani rawatan.
Justeru itu, beliau berharap kempen berkenaan dapat memperluas pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan wanita, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap langkah pencegahan dan pengesanan awal kanser payudara.
