KUALA TERENGGANU, 17 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyarankan agar kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu dapat menyediakan zon khas bagi usahawan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
"Dalam hal ini, Rantau Abang menyambut baik langkah kerajaan negeri menyelaraskan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Sebagai salah satu kawasan yang berada dalam lingkaran impak Stesen ECRL Dungun, rakyat di DUN Rantau Abang amat menantikan limpahan ekonomi daripada projek mega ini.
"Pastikan anak-anak tempatan diberi peluang ruang niaga yang mampu milik dan strategik agar mereka bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan, tetapi menjadi pemain utama yang meraih manfaat langsung," sarannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Enakmen Perbekalan (Belanjawan Terengganu 2027) dalam Sidang DUN Terengganu, di Wisma Darul Iman hari ini.
Fadhli turut membangkitkan aspek ketersambungan jalan raya antara Stesen ECRL Dungun dengan pusat bandar, kawasan perindustrian ringan serta destinasi pelancongan di sekitar Rantau Abang.
"Kita tidak mahu stesen ECRL ini berdiri megah tetapi akses jalan penghubungnya masih sempit atau kurang sempurna.
"Apakah pelan jangka pendek dan jangka sederhana Kerajaan Negeri dalam menaik taraf rangkaian jalan penghubung di koridor Dungun–Rantau Abang supaya pergerakan kargo, peniaga dan pelancong menjadi lancar apabila ECRL beroperasi kelak?", soalnya.