Jalur Gemilang
Berita :
RM22.31 Juta Untuk Hidupkan Semula Rantau Abang
RM22.31 Juta Untuk Hidupkan Semula Rantau Abang
Noraini Jusoh
13 jam yang lepas
181

KUALA TERENGGANU, 17 November – Usaha mengembalikan kegemilangan Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan berasaskan pemuliharaan penyu memerlukan peruntukan RM22.31 juta, namun cadangan projek itu masih menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan tersebut dikemukakan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Menurutnya, projek penjenamaan semula Pusat Peranginan Rantau Abang itu bertujuan menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan warisan, pemuliharaan penyu dan rekreasi.

"Projek ini bertujuan membangunkan Rantau Abang sebagai destinasi ekopelancongan dengan mengetengahkan tarikan seperti Pusat Penyelidikan Penyu, kawasan pendaratan penyu bertelur, Batu Penyu dan Batu Pelanduk.

"Selain itu, ia turut merangkumi penaiktarafan kemudahan awam, kawasan rekreasi, landskap dan kemudahan pelancong bagi meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Azman berkata, projek yang dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 36 bulan itu merangkumi pembinaan gerbang sempadan Dungun-Marang, pengindahan landskap laluan utama, laluan pejalan kaki (boardwalk), wakaf dan menara tinjau.

Turut dicadangkan ialah pembangunan Dataran Penyu, penaiktarafan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Abang, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu serta kawasan rekreasi Pantai Batu Pelanduk.

Menurutnya, pembangunan bersepadu itu dijangka menghubungkan kawasan Pantai Rantau Abang hingga ke Batu Pelanduk, selain meningkatkan kemudahan rekreasi dan menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau berkata, usaha tersebut juga diharap dapat mengembalikan imej Rantau Abang sebagai destinasi pemuliharaan penyu dan pendidikan alam sekitar, di samping membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Bagaimanapun, Azman menegaskan pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan bergantung kepada kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Projek ini masih dalam pertimbangan dan belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan," katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan