Berita :
'DAP Sengaja Cetus Provokasi Isu Ternakan Babi di Selangor'
'DAP Sengaja Cetus Provokasi Isu Ternakan Babi di Selangor'
Adli Mohamad
11 jam yang lepas
107

KUALA NERUS, 30 April - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Abdul Razak menyifatkan cadangan menghidupkan semula penternakan babi di Selangor sebagai satu polemik yang sengaja dicetuskan pimpinan DAP, sekali gus menyentuh sensitiviti kaum, agama dan Institusi Diraja.

Menurut beliau, isu tersebut bukan perkara baharu kerana Sultan Selangor sudah beberapa kali menitahkan pandangan berhubung perkara itu dan wajar dihormati semua pihak demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, Malaysia mempunyai majoriti rakyat beragama Islam dan perkara berkaitan sensitiviti agama perlu difahami dengan cermat, bukan dijadikan bahan pertikaian politik.

“Agama rasmi Persekutuan adalah Islam. Jadi apa salahnya kita meraikan sensitiviti kaum majoriti, sedangkan lebih 60 peratus rakyat negara ini beragama Islam.

“Lagipun, bukan semua bukan Islam makan daging babi. Ada juga penganut agama Hindu dan Buddha yang tidak makan benda berdarah.

“Jadi kelompok yang benar-benar makan daging babi ini sebenarnya hanya sebilangan kecil. Sebab itu kita hairan kenapa sensitiviti majoriti tidak dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas menghadiri satu program di sini, semalam.

Alias berkata, keharmonian negara selama ini dapat dipelihara kerana wujud sikap saling memahami antara kaum, termasuk keupayaan golongan minoriti menghormati sensitiviti majoriti.

Namun katanya, suasana itu boleh tergugat sekiranya ada pihak terus memainkan isu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.

“Selama ini kita boleh hidup aman dan damai kerana golongan minoriti memahami suara majoriti.

“Tetapi sekarang ini, seolah-olah minoriti mahu menguasai majoriti. Ini perkara yang sangat malang kerana jika berterusan, ia boleh menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Mengulas lanjut, Alias berkata isu penternakan babi tidak sepatutnya diperbesarkan kerana negara masih mempunyai pelbagai sumber protein lain yang mudah diperoleh seperti lembu, kambing dan ayam.

Katanya, sekiranya ada keperluan terhadap bekalan daging babi, ia boleh diimport seperti yang dilakukan negara Singapura.

“Lembu boleh makan, kambing boleh makan, ayam pun boleh makan. Kalau hendak makan babi, boleh import sebagaimana dilakukan Singapura.

“Tambahan pula, penternakan haiwan ini jika dibuat secara besar-besaran boleh menyebabkan pencemaran air, udara, alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap pihak perlu lebih berhati-hati dalam membawa isu yang menyentuh budaya, kaum dan agama agar tidak merosakkan keharmonian yang telah lama terbina.

“Bagi saya, kita perlu memahami budaya dan kaum lain. Yang penting, hormat agama dan sensitiviti masing-masing supaya kita boleh terus hidup dalam suasana saling memahami,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan