KUALA TERENGGANU, 30 April – Kerajaan Negeri Terengganu kini berada di fasa akhir dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang membabitkan kawasan seluas 16,761 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, status terkini memperlihatkan pihak berkuasa negeri sedang giat memproses permohonan yang telah dikemukakan oleh agensi berkenaan.
Menurut beliau, keluasan tanah yang besar tersebut telah dipecahkan kepada 478 lot bagi membolehkan proses pemberian hak milik dilakukan secara lebih teratur dan sistematik.
"Sekarang kita berada pada fasa memproses permohonan tanah yang dikemukakan oleh pihak Felda. Seluas 16,761 hektar tanah yang dipecahkan kepada 478 lot sedang dalam proses untuk pemberian hak milik kepada Felda.
"Bukan suatu urusan yang mudah, tetapi ianya dapat dipermudahkan bila kita bekerja secara berpasukan dengan gerak kerja yang tersusun rapi," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Isu Tanah Felda telah diwujudkan bagi memantau dan mempercepatkan segala urusan teknikal berkaitan isu tersebut.

Jelasnya, meskipun tugasan tersebut dianggap mencabar memandangkan ia melibatkan skala yang besar dan teknikaliti undang-undang tanah, namun semangat kerja berpasukan antara agensi kerajaan negeri dan pihak Felda menjadi kunci utama kelancaran proses tersebut.
Langkah ini dijangka akan memberi noktah kepada isu pemilikan tanah yang telah lama menjadi perhatian, sekali gus menjamin kestabilan pengurusan tanah Felda di Terengganu demi manfaat warga peneroka dan pembangunan ekonomi negeri.
Tag :