KUALA TERENGGANU, 25 September - Dataran Shahbandar meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur bagi menyemarakkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW menerusi Malam Terengganu Cinta Rasul.
Program anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu bukan sahaja menyemarakkan suasana berselawat, malah menjadi medan penting dalam ikhtiar melahirkan generasi beriman dan berakhlak mulia menerusi penghayatan sunnah Baginda.

"Sifat-sifat mulia ini bukan sahaja menjadi asas kepada pembentukan peribadi seorang Muslim, malah menjadi panduan dalam membina keluarga yang harmoni, masyarakat yang berakhlak dan kehidupan yang diredhai Allah SWT.
"Sesungguhnya, masyarakat yang kita impikan ialah masyarakat yang menjadikan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika merasmikan majlis berkenaan.

"Mudah-mudahan usaha penganjuran ini mendapat keberkatan dan menjadi salah satu ikhtiar dalam melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia dan sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan," ujar beliau.
Dalam pada itu, Dato' Ariffin menegaskan kemajuan yang ingin dibawa menerusi gagasan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera bukan sekadar pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya seiring dengan nilai agama, akhlak dan keberkatan dalam kehidupan.
"Justeru, slogan Indahnya Hidup Bersyariat yang kita perjuangkan bukan sekadar slogan, tetapi merupakan satu usaha untuk mengajak masyarakat menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam kehidupan.
"Apabila nilai-nilai agama dihayati, akhlak dipelihara dan kehidupan dilaksanakan berlandaskan syariat, insya-Allah akan lahirlah sebuah negeri yang aman, harmoni, maju dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT," tegasnya.

Selama dua hari ia berlangsung, pelbagai pengisian keagamaan termasuk Liqa' Daie Rabbani, bacaan kitab Syamail Muhammadiah secara bersanad, pengijazahan sanad serta Haflah Gema Wahyu yang menjadi santapan rohani kepada pengunjung.
Sebagai kemuncak, Malam Terengganu Cinta Rasul turut diserikan dengan persembahan berzanji, tausiyah, nasyid dan berselawat oleh UNIC serta beberapa penceramah agama.