SETIU, 13 Mei – Semangat perpaduan dan rasa cinta terhadap komuniti setempat dizahirkan oleh seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Nalini Arumugam yang menyuarakan rasa bangga menjadi sebahagian daripada masyarakat di sini.
Meskipun sekadar menyewa di Kampung Renek sejak 12 tahun yang lalu, Dr. Nalini menyifatkan dirinya sudah sebati dengan gaya hidup dan budaya penduduk Jabi sehingga menganggap kawasan tersebut sebagai kediamannya sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kehadiran tokoh akademik seperti Dr. Nalini membuktikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut berada pada tahap yang sangat baik.
"Terima kasih Dr. Nalini Arumugam kerana menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum di Jabi. Beliau sendiri menyebut betapa bangganya beliau dengan 'Jabi saya'," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr. Azman turut sempat berseloroh secara santai apabila mengaitkan nama bapa pensyarah tersebut dengan legenda bola sepak negara.
"Tengok nama Arumugam, teringat mendiang Arumugam, penjaga gol (legenda) Malaysia," tambahnya.
Kisah Dr. Nalini ini menjadi inspirasi kepada penduduk setempat mengenai erti integrasi kaum, di mana tempoh lebih sedekad menetap di Jabi telah memadamkan jurang perbezaan latar belakang demi kesejahteraan bersama.
Tag :