Berita :
Dua Beradik Lemas, Mayat Ditemukan di Dasar Sungai Jeram Pasar
Dua Beradik Lemas, Mayat Ditemukan di Dasar Sungai Jeram Pasar
Zuhdi Abdullah
6 jam yang lepas
205

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Dua beradik perempuan yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Jeram Pasar, Kampung Jeram Hulu, di sini petang tadi, ditemukan lemas kira-kira jam 6 petang.

Mangsa dikenali sebagai Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12.

Kedua-dua mangsa ditemukan di dasar sungai pada kedalaman kira-kira tujuh meter, kira-kira 50 meter dari lokasi mereka dipercayai tenggelam.

Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 petang.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Seramai 14 anggota terlibat dalam operasi ini termasuk empat anggota PPDA.

“Operasi pencarian dilakukan menerusi dua selaman di lokasi kejadian. Selaman pertama tidak menemukan mangsa, namun kedua-duanya berjaya ditemukan pada selaman kedua kira-kira jam 6 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Baharum berkata, mangsa ditemukan berhampiran antara satu sama lain di dasar sungai pada kedalaman kira-kira tujuh meter.

Menurutnya, operasi SAR mengambil masa hampir tiga jam sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemukan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan