Berita :
Durian Hulu Besut Berpotensi Tembusi Pasaran Antarabangsa
Durian Hulu Besut Berpotensi Tembusi Pasaran Antarabangsa
Norekwan Mamat
15 jam yang lepas
139

BESUT, 3 Julai – Durian kampung Hulu Besut berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa sekiranya aspek penjagaan kebun, kualiti buah dan penjenamaan terus dipertingkatkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, durian kampung dari kawasan itu mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa, isi yang lemak dan tebal dan aroma menjadi tarikan peraih dari pelbagai negeri.

Menurutnya, pekebun perlu terus menjaga kualiti kebun dan hasil tanaman supaya durian Hulu Besut dapat diangkat sebagai produk premium yang mampu menembusi pasaran lebih luas, termasuk ke luar negara.

"Saya doakan kepada pengusaha dan pekebun durian, jagalah kebun masing-masing supaya pada masa akan datang buah menjadi lebih premium dan boleh kita pasarkan ke seluruh Malaysia, insya-Allah," jelasnya ketika merasmikan Pesta Durian Hulu Besut 2026 di Dewan Sejahtera Pasir Akar, hari ini.

Beliau menambah, permintaan yang tinggi menyebabkan rantaian ekonomi pekebun tempatan bergerak aktif, sehinggakan peraih luar luar sanggup menunggu di kebun demi mendapatkan bekalan.

"Kalau kita tengok mereka mari lewat-lewat, mari tengah malam, tunggu di kebun nak kutip durian Hulu Besut. Betapa premiumnya isi durian kita ni, malah ia terkenal bukan setakat di Terengganu, tetapi ke seluruh Malaysia," ujarnya.
Tambahnya, keadaan itu membuktikan durian Hulu Besut memiliki nilai komersial yang tinggi dan mampu menjadi pemacu ekonomi kepada pekebun kecil di kawasan tersebut.

"Pesta durian kembali dianjurkan selepas setahun berehat ekoran faktor pengeluaran buah yang kurang memuaskan tahun lalu itu, memfokuskan syarat penyertaan yang ketat iaitu hanya melibatkan durian kampung asli milik penduduk DUN Hulu Besut," ujarnya.

Selain itu, katanya, pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan suasana termasuklah Pertandingan Durian Premium, Durian Kampung Paling Besar, Teka Berat Durian, Gubahan Buah Durian dan Pertandingan Memasak Lempuk Durian.

"Kesemua penyertaan bagi kategori kualiti buah diadili secara profesional oleh barisan juri daripada Jabatan Pertanian Daerah Besut," tambah Husaimi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan