Berita :
E-Hailing Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Baharu Terengganu
E-Hailing Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Baharu Terengganu
Rohayati Ripin
14 May 26
34

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Industri e-hailing di Terengganu dilihat semakin berkembang pesat selari dengan pertumbuhan sektor ekonomi gig dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi di negeri itu.

Pengerusi Persatuan E-Hailing Terengganu, Rozi A. Ghawi berkata, persatuan yang ditubuhkan pada 13 Mac 2024 itu kini mempunyai kira-kira 50 ahli berdaftar manakala lebih 100 lagi permohonan keahlian sedang dalam proses kelulusan.

Menurutnya, setiap permohonan perlu diteliti bagi memastikan pemandu memenuhi syarat kelayakan termasuk memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Pendaftaran keahlian dikenakan RM25 manakala yuran tahunan juga sebanyak RM25 setahun.

“Antara matlamat utama penubuhan persatuan ialah memperkasakan industri e-hailing di Terengganu, menjaga kebajikan ahli, membantu merancakkan sektor pelancongan negeri serta mengeratkan hubungan dalam kalangan pemandu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini mengulas perkembangan industri e-hailing di negeri ini.

Menurut Rozi, industri e-hailing kini tidak lagi tertumpu di Kuala Terengganu sahaja, sebaliknya turut berkembang ke daerah lain termasuk Kemaman, Dungun dan Besut.

Katanya, kehadiran pelancong dan pertambahan pelajar universiti tempatan menjadi antara faktor utama yang memacu pertumbuhan sektor berkenaan.

“Permintaan terhadap perkhidmatan GrabCar dan platform lain seperti Maxim semakin meningkat kerana kemudahan aplikasi yang mudah digunakan selain perkhidmatan ‘door to door’ yang lebih fleksibel.

“Perkhidmatan ini juga menjadi pilihan utama pelajar universiti dan pelancong yang ingin ke jeti atau pusat bandar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor e-hailing turut membantu ramai rakyat Terengganu menambah pendapatan terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tambahnya, ramai pemandu menjadikan e-hailing sebagai pekerjaan sambilan manakala sebahagian lagi memilihnya sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Golongan muda juga semakin ramai memilih sektor ini kerana fleksibiliti masa dan proses pendaftaran yang mudah.

“Ia sering dijadikan pekerjaan sementara sementara menunggu tawaran kerja tetap atau sebagai kerja sampingan bagi lepasan graduan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemandu e-hailing berdepan pelbagai cabaran termasuk kos operasi dan tekanan kerja yang memerlukan perhatian kerajaan.

Justeru, katanya, persatuan berharap kerajaan negeri dapat membantu melalui subsidi lesen PSV, caruman PERKESO di bawah SPS Lindung serta penyediaan zon menunggu yang lebih sistematik di lokasi tumpuan pelancong dan lapangan terbang.

Selain itu, Rozi turut mencadangkan komuniti e-hailing diangkat sebagai sebahagian daripada agenda pelancongan negeri termasuk berperanan sebagai ‘duta kecil’ Terengganu.

Rozi menambah, persatuan itu juga memainkan peranan membantu kebajikan ahli termasuk dalam urusan tuntutan insurans, bantuan kecemasan serta menjadi suara kolektif pemandu dalam menyuarakan isu tambang dan keselamatan kepada pihak berkaitan.

Menurutnya, industri e-hailing mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai sektor ekonomi baharu di Terengganu terutama dalam menyokong sektor pelancongan, logistik dan perkhidmatan tempatan.

“Ia sekali gus mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran dan memperkukuhkan ekosistem ekonomi gig di negeri ini,” tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan