Hijabi Blaze Johan Kejohanan Bola Jaring Piala Ahli Parlimen Setiu
Ariss Alias
4 jam yang lepas
64
SETIU, 13 Ogos — Pasukan Hijabi Blaze muncul juara Kejohanan Alamanda Bola Jaring Piala YB Ahli Parlimen Setiu 2026.
Hijabi Blaze menampilkan aksi cemerlang untuk muncul juara, manakala Shadow Bees dinobatkan sebagai naib juara dan Young Thunder NC menduduki tempat ketiga dalam kejohanan melibatkan lapan pasukan dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Pasukan Nettforce, QA Netstar, Srikandi Queens, Net Queen dan Phoenix Flame pula masing-masing menerima hadiah saguhati.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata penganjuran kejohanan berkenaan bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah penting dalam membentuk nilai kejujuran, disiplin, semangat kesukanan serta kepatuhan terhadap peraturan dalam kalangan peserta.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, barisan juri dan ahli jawatankuasa yang memberikan komitmen bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar dan teratur.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh isteri beliau, Puan Nor Azlin Farilah Hashim.

Pemain Hijabi Blaze, Ummi Syahirah Mohd Apandi dinobatkan sebagai pemain terbaik, manakala rakan sepasukannya Raja Asmanira Raja Mat menerima anugerah penjaring terbaik.
Kejohanan berkenaan turut mendapat kerjasama barisan juri dan AJK yang bertanggungjawab dalam pelbagai aspek termasuk persiapan, pengurusan pasukan, perjalanan pertandingan dan urusan di gelanggang.
Penganjuran kejohanan itu diharap dapat terus menyemarakkan perkembangan sukan bola jaring selain menjadi platform mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat di Setiu.