lightning-solid
Berita :
Hobi Memikat Tekukur, Ketitir Makin Popular, Tarik 250 Peserta Tiga Negeri
Hobi Memikat Tekukur, Ketitir Makin Popular, Tarik 250 Peserta Tiga Negeri
Naim Fadhilah Kamaruddin
15 jam yang lepas
221

DUNGUN, 17 Ogos - Hobi memikat burung tekukur dan ketitir semakin mendapat sambutan apabila kira-kira 250 peserta dari Terengganu, Kelantan dan Pahang menyertai pertandingan memikat sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, di sini.

Pertandingan anjuran Persatuan Memikat Merbuk & Tekukur Dungun dengan kerjasama Karnival Indahnya Hidup Bersyariat DUN Sura itu turut menarik peserta dari Pasir Mas, Kelantan yang merupakan peserta paling jauh hadir menyertai acara berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan aktiviti memikat burung mempunyai komuniti peminat yang besar dan bukan sekadar hobi dalam kalangan individu tertentu.

“Kalau kita lihat hari ini, hampir 250 peserta hadir dan mereka datang dari beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Ini menunjukkan hobi memikat burung sebenarnya mempunyai komuniti yang besar dan mampu menghimpunkan mereka yang mempunyai minat sama dalam satu aktiviti yang cukup meriah,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran peserta dari jauh termasuk Pasir Mas, Kelantan turut memperlihatkan kesungguhan peminat untuk menyertai aktiviti berkenaan selain menjadikannya ruang untuk bertemu rakan-rakan yang mempunyai hobi sama.

“Bagi saya, inilah antara perkara yang menarik dalam aktiviti seperti ini. Mereka bukan sahaja datang untuk bertanding, tetapi dapat bertemu kawan-kawan yang sehobi dan mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Suasananya juga sangat meriah kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan minat yang sama terhadap aktiviti memikat burung,” katanya.

Pertandingan itu menyaksikan kira-kira 60 ekor ketitir dan 20 ekor tekukur berjaya ditangkap peserta menggunakan jebak, dengan pemenang ditentukan berdasarkan jumlah tangkapan terbanyak.

Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, penganjuran pertandingan seperti itu juga memberi peluang kepada masyarakat mengenali hobi memikat burung yang mempunyai pengikut tersendiri di negara ini.

Katanya, selain hadiah berupa piala dan hamper, peserta turut berpeluang memenangi cabaran bertuah yang menawarkan pelbagai peralatan berkaitan hobi berkenaan.

“Antara hadiah dan cabaran bertuah yang disediakan termasuk galah burung, jebak burung, sarang burung dan pelbagai peralatan memikat.

“Jadi, program seperti ini bukan sahaja meriah, tetapi memberi ruang kepada peminat untuk berkongsi pengalaman, bertemu rakan sehobi dan terus mengembangkan komuniti ini,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti berasaskan hobi seperti itu juga selari dengan usaha menghidupkan suasana karnival dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, Karnival Indahnya Hidup Bersyariat DUN Sura bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengisian keagamaan, malah turut menyediakan aktiviti kemasyarakatan yang mampu menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai dan harmoni.



Tag :

Artikel Berkaitan