Berita :
Huffaz Profesional Pemacu Kesedaran Ummah, Kuasai Teknologi Masa Depan - PMX
Huffaz Profesional Pemacu Kesedaran Ummah, Kuasai Teknologi Masa Depan - PMX
Ahmad Zaeem Zainudin
14 Apr 26
25

KUALA NERUS, 14 April - Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting dalam melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu menguasai ilmu serta teknologi moden mengikut arus zaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha melahirkan generasi al-Quran perlu bergerak seiring dengan keperluan semasa termasuk penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat.

"Dalam sistem pendidikan negara, dalam Kerajaan MADANI ini kita perkenalkan apa yang disebut usaha memiliki ilmu dan meneroka ilmu dalam semua bidang.

"Menguasai teknologi baru, teknologi maklumat atau teknologi 'artificial intelligence'. 

"Tapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan landasan tradisi kita," katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Dewan Arena Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, semalam.

Menurut beliau, keunikan generasi al-Quran terletak pada keseimbangan antara membaca, menghafaz dan menghayati sehingga menjadi kekuatan dalaman yang membentuk jati diri.

"Keunikannya ialah kerana membaca, menghafaz, mengamal, menghayati sehingga ia menjadi suatu yang tertanam di dalamnya roh dan memberikan keberkatan dan kekuatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran tilawah dan hafazan perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sebagai satu gerakan membina kesedaran ummah.

"Penganjuran tilawah dan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan ini harus dilihat dalam kerangka yang lebih besar iaitu sebagai satu gerakan membina kesedaran ummah.

"Ia juga merupakan medan untuk mengangkat martabat al-Quran dalam kehidupan bernegara," katanya.

Menteri Besar turut menzahirkan harapan beliau, agar setiap ayat yang dibaca dan dihafaz memberi makna besar kepada peserta.

"Semoga setiap ayat yang dialunkan dan dihafaz menjadi saksi di hadapan Allah kelak," tambahnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan