lightning-solid
Berita :
LPT2 Bongkar Ketidakadilan Terhadap Terengganu - Penyelidik
LPT2 Bongkar Ketidakadilan Terhadap Terengganu - Penyelidik
Husaif Mamat
11 jam yang lepas
1124

KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Tuntutan bayaran balik RM1.43 bilion yang didahulukan Kerajaan Terengganu bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menimbulkan persoalan mengenai keadilan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Pengarah Penyelidikan Dasar dan Undang-undang Insight Development Centre (INDEC), Muna Rime berkata, lebuh raya merupakan infrastruktur di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun sebahagian kos pembinaan LPT2 terpaksa didahulukan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, keadaan itu mengundang persoalan apabila sebuah negeri merasakan sumbangan dan tuntutan yang dianggap sebagai haknya tidak diberikan layanan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Tidak wajar pelaksanaan tanggungjawab di bawah bidang kuasa Persekutuan dijadikan modal politik atau alasan untuk menuntut penghargaan.

“Setiap peringkat kerajaan sekadar melaksanakan amanah yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan, bukannya memberikan ihsan kepada rakyat,” katanya dalam satu tulisan mengenai federalisme dan hak pembangunan negeri.

Muna berkata, isu LPT2 mempunyai persamaan dengan polemik Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang mencetuskan perbezaan pandangan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Anwar dilaporkan memaklumkan bahawa pelan induk berkenaan belum boleh dilancarkan kerana memerlukan persetujuan Singapura.

Onn Hafiz pula berpandangan dokumen tersebut merupakan Pelan Induk Malaysia yang sudah melalui proses libat urus dan tidak memerlukan tandatangan Singapura sebelum diumumkan.

Menurut Muna, pertikaian mengenai prosedur bukanlah persoalan paling utama, sebaliknya perkara yang lebih membimbangkan ialah persepsi bahawa kerajaan negeri terpaksa mendesak Putrajaya bagi mempercepatkan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyatnya sendiri.

“Sebagaimana polemik JS-SEZ di Johor menimbulkan tanggapan bahawa agenda pembangunan negeri bergantung kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan, isu LPT2 turut mengundang persoalan yang sama,” katanya.

Mengulas naratif kempen pilihan raya bahawa pembangunan lebih mudah dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan berada dalam jajaran politik sama, Muna berkata dakwaan itu perlu dinilai secara kritis.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menguasai sebahagian besar sumber hasil negara, termasuk cukai pendapatan, cukai syarikat dan duti kastam, manakala kerajaan negeri bergantung kepada sumber hasil yang lebih terhad.

Keadaan itu menyebabkan banyak agenda pembangunan negeri, termasuk infrastruktur dan ekonomi, bergantung kepada geran serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Hubungan yang harmoni antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan boleh menyelesaikan banyak isu dan keluh-kesah rakyat.

“Namun, hubungan politik yang baik sepatutnya bertindak sebagai pemangkin, bukannya prasyarat kepada pembangunan,” katanya.

Menurut Muna, jika projek pembangunan dilihat sebagai ganjaran atau hukuman kerana rakyat memilih parti tertentu, keadaan itu merupakan isyarat kecemasan terhadap kepercayaan rakyat kepada sistem federalisme.

Beliau berkata, pilihan raya sepatutnya menentukan pihak yang diberi mandat mentadbir sesebuah negeri, bukannya menentukan sama ada negeri itu layak menerima pembangunan.

“Rakyat berhak memilih kerajaan negeri berdasarkan prestasi, dasar dan keupayaan mentadbir, bukannya kerana bimbang hak pembangunan mereka akan terjejas jika membuat pilihan politik yang berbeza,” katanya.

Muna turut mengingatkan supaya naratif pembangunan hanya akan lancar apabila kerajaan negeri dan Persekutuan dikuasai parti sama tidak diulangi dalam pilihan raya negeri lain.

Katanya, politik negara perlu bergerak ke arah persaingan berasaskan idea, dasar dan prestasi, bukan membina persepsi bahawa hak pembangunan rakyat bergantung kepada parti yang memerintah di Putrajaya.


Tag :

Artikel Berkaitan