Insentif untuk 63 Pelajar Cemerlang SPM DUN Telemong
Wan Mohammad Omar Ajmain
2 jam yang lepas
88
HULU TERENGGANU, 4 Mei – Seramai 63 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong diraikan dalam satu majlis bagi menghargai kesungguhan mereka memartabatkan ilmu pengetahuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohamad Zawawi Ismail berkata, kejayaan yang dicapai itu bukan sahaja membanggakan diri pelajar, malah menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat di kawasan tersebut.

Menurut beliau, kecemerlangan berkenaan adalah manifestasi kepada gandingan usaha gigih, disiplin kendiri serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa dan guru.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang. Kejayaan ini mengharumkan nama keluarga, sekolah dan seluruh DUN Telemong.
“Jadikan kejayaan ini sebagai titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam menuntut ilmu dan mencapai cita-cita yang lebih tinggi demi masa depan yang gemilang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM DUN Telemong di Rest House, Kuala Berang hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 10 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’ menerima sumbangan tunai berjumlah RM200 setiap seorang sebagai pengiktirafan khas.
Manakala, baki 53 penerima yang memperoleh keputusan 6A ke atas turut menerima sumbangan sebanyak RM150 seorang sebagai suntikan semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Secara keseluruhan hari ini, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Telemong menyalurkan peruntukan berjumlah RM9,950 bagi menyantuni kesemua pelajar cemerlang berkenaan melalui pemberian insentif ini.
Pemberian tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pejabat ADUN dalam memastikan kebajikan pendidikan anak muda di Telemong sentiasa diberi keutamaan bagi melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.
Tag :