KUALA LUMPUR, 13 November – Percambahan rumah ibadat tanpa izin dalam negara kini berada di tahap yang membimbangkan apabila ia mula dikesan menjadi sarang sindiket jenayah, termasuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, pendedahan kes sebuah kuil haram di Klang yang diserbu kerana menyimpan heroin baru-baru ini membuktikan isu ini bukan lagi isu picisan, sebaliknya mengancam keharmonian kaum dan undang-undang negara.
Beliau turut mempersoalkan wujudnya layanan 'double standard' oleh pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan isu berkenaan.
"Apabila ada aktivis ditahan pada Oktober lalu atas tuduhan merosakkan tempat sembahan, polis memaklumkan siasatan dibuat selepas menerima laporan penyelia kuil. Persoalannya, kenapa penyelia kuil itu tidak ditangkap walaupun mengakui mengendalikan kuil tanpa izin?
"Kesalahan (bina kuil haram) itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda RM500,000 di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. Kalau betul mahu kuatkuasakan undang-undang secara adil, sepatutnya kedua-dua pihak patut ditahan dan disiasat," tegasnya.
Berucap pada sesi perbahasan Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengingatkan kerajaan bahawa layanan tidak adil sedemikian hanya akan menambah defisit kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.
Beliau menuntut penjelasan KDN berhubung perancangan tuntas serta jumlah peruntukan khusus yang disediakan kerajaan bagi menangani masalah percambahan rumah ibadat tanpa izin ini secara menyeluruh.