SETIU, 15 Mei – Penduduk Kampung Alor Damat, Batu Rakit kini boleh menarik nafas lega apabila masalah saliran tersumbat yang sering menghantui mereka setiap kali musim hujan mula mendapat perhatian serius melalui tindakan drastik agensi kerajaan yang berkaitan.
Tindakan segera ini merupakan susulan daripada sesi perjumpaan pada Oktober tahun lalu yang melibatkan sinergi antara Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, kerja-kerja teknikal di lapangan telah pun digerakkan sejak minggu lalu yang merangkumi pemasangan longkang U bagi memastikan aliran air lebih lancar di kawasan titik panas banjir.
Selain itu, kerja-kerja pemasangan paip utama turut dilaksanakan secara serentak bagi menjamin bekalan air bersih yang lebih stabil terus ke kediaman penduduk.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, pihak JPS dilaporkan telah mengangkat cadangan projek tebatan dan saliran bernilai jutaan ringgit di bawah Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Sekiranya diluluskan, projek berskala besar ini dijangka mampu menyelesaikan isu saliran yang sudah bertahun-tahun membelenggu penduduk di situ secara menyeluruh dan tetap.
Untuk rekod, isu saliran di Kampung Alor Damat merupakan antara agenda kebajikan rakyat yang kerap diperjuangkan oleh beliau di Dewan Rakyat, termasuk melalui sesi Kamar Khas.
"Demi kesejahteraan masyarakat setempat di Parlimen Setiu, usaha ini dilakukan bagi memastikan suara penduduk mendapat tindakan sewajarnya daripada kementerian berkaitan," ujar beliau.
Tag :