Jalur Gemilang
Berita :
Jaga Integriti, Elak Elemen Negatif Jejas Kredibiliti Yayasan Terengganu
Jaga Integriti, Elak Elemen Negatif Jejas Kredibiliti Yayasan Terengganu
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
65

KUALA TERENGGANU, 21 September – Warga kerja Yayasan Terengganu diseru supaya mengelakkan sebarang elemen negatif yang boleh menjejaskan nama baik dan kredibiliti organisasi yang telah dibina sejak sekian lama.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, setiap warga kerja perlu bersama-sama mempertahankan reputasi organisasi dengan mengamalkan budaya kerja yang responsif, berintegriti dan sentiasa bersedia melakukan penambahbaikan.

Menurut beliau, komitmen serta kualiti warga kerja amat penting bagi memastikan amanah kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan berkualiti dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Warga kerja yang berprestasi tinggi adalah aset yang paling berharga dan menjadi tonggak kejayaan bagi sesebuah organisasi.

“Justeru, saya menyeru supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat mengelakkan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan nama baik serta kredibiliti organisasi yang telah lama kita bina selama ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Jasa Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2026, di Permai Hotel, hari ini.

Ahmad Farhan menambah, budaya kerja cemerlang bukan sahaja menuntut warga kerja melaksanakan tugasan dengan baik, malah perlu memastikan setiap amanah yang diberikan benar-benar memberi impak kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada 29 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Terengganu Tahun 2025 atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan kepada organisasi.

Katanya, setiap penerima turut menerima penghargaan berupa Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,000 seorang sebagai pengiktirafan terhadap prestasi yang dicapai.

“Harapan saya agar pengiktirafan serta penghargaan seumpama ini dapat dijadikan pemangkin untuk meningkatkan motivasi kerja serta menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan yang lain,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada 12 warga kerja Yayasan Terengganu yang bersara pada tahun lalu dan tahun ini, termasuk mereka yang telah menabur bakti sehingga 37 tahun.

Menurutnya, pengalaman yang dikongsi dan diwariskan oleh warga kerja berkenaan merupakan aset tidak ternilai yang boleh menjadi panduan serta inspirasi kepada generasi kakitangan yang seterusnya.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah bersara dan memberi khidmat kepada Yayasan Terengganu,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan