lightning-solid
Berita :
Jalan Tanah Bertukar Tar, Keselesaan Penoreh Getah Turut Diberi Perhatian
Jalan Tanah Bertukar Tar, Keselesaan Penoreh Getah Turut Diberi Perhatian
Hidayah Azlin
14 jam yang lepas
43

SETIU, 26 Julai – Golongan penoreh getah dan petani di kawasan luar bandar berhak menikmati kemudahan infrastruktur yang selesa, sama seperti golongan pekerja yang berkhidmat di sektor awam mahupun swasta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keselesaan kemudahan awam seperti perkhidmatan jalan raya tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya perlu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa sebarang diskriminasi.

Menurut beliau, usaha naik taraf laluan daripada jalan tanah kepada jalan bertar di kawasan DUN Jabi adalah bukti keprihatinan terhadap kebajikan penduduk setempat, terutamanya mereka yang mengusahakan sektor pertanian dan perladangan.

"Orang menoreh getah pun nak lalu jalan tar sebagaimana orang nak pergi pejabat. Berlaku adil dan jangan diskriminasikan mereka," katanya

Beliau menjelaskan, pelaksanaan projek menaik taraf jalan tanah berkenaan dijangka dapat melancarkan urusan harian penduduk, sekali gus meningkatkan keselamatan para petani dan penoreh getah ketika keluar mencari rezeki seawal pagi.

Projek penurapan jalan raya tersebut mendapat pelbagai reaksi positif daripada masyarakat setempat yang menyifatkan pembangunan infrastruktur asas itu amat bermakna bagi memudahkan pergerakan serta pengangkutan hasil pertanian ke pasaran.

Langkah berkenaan juga dilihat dapat mengurangkan risiko kemalangan serta kerosakan kenderaan penduduk yang sebelum ini terpaksa melalui laluan tanah yang licin dan berlubang, terutamanya apabila berdepan musim hujan.


Tag :

Artikel Berkaitan