KEMAMAN, 3 November - Sungai yang bersih dan terpelihara bukan sahaja menjadi nadi kehidupan, malah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan lestari menerusi aktiviti rekreasi, pelancongan, pendidikan alam sekitar dan ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata kita perlu melihat sungai bukan sebagai sesuatu yang perlu kita urus apabila berlaku masalah semata-mata.
"Sungai perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negeri. Sungai yang bersih dan terpelihara boleh menjadi ruang rekreasi.
" Ia boleh menyokong aktiviti pelancongan dan menjadi ruang pendidikan alam sekitar. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh menyumbang kepada aktiviti ekonomi masyarakat," ujarnya ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026.

"Sungai bukan sekadar sesuatu yang perlu kita elakkan tercemar. Sungai juga merupakan aset kepada masyarakat,"ujar beliau.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Cukai turut mengingatkan menjaga sungai bukan tugas kerajaan sahaja.
"Ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Kerajaan mempunyai peranan dalam aspek pengurusan, pemantauan dan pemuliharaan sumber air serta sungai.
"Namun begitu, usaha tersebut memerlukan sokongan daripada masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan kawasan persekitaran," jelasnya.
Tambahnya, kita juga perlu mengubah cara kita melihat sungai. Apabila masyarakat semakin dekat dengan sungai, diharapkan rasa sayang dan rasa tanggungjawab terhadap sungai juga akan semakin bertambah.

Program yang berlangsung bermula 2 Oktober sehingga 4 Oktober berlangsung dalam suasana yang meriah dengan pelbagai acara lain yang diadakan termasuk persembahan pentas, Pasar Suri, Perasmian Denai Sungai Kebangsaan (DSK), taklimat, simulasi, larian, persembahan silat tradisi, persembahan nasyid, qasidah, gendang 24 musim, jualan rahmah, jualan produk, demonstrasi dan banyak lagi.