KUALA TERENGGANU, 16 November – Jambatan Sungai Kepah di Jalan FT247, Seksyen 11.60, laluan Kuala Berang–Sungai Tong kini dibuka semula kepada semua pengguna jalan raya.
Pembukaan semula jambatan berkenaan membolehkan pergerakan trafik di laluan itu kembali berjalan seperti biasa selepas ditutup sebelum ini.
Bagaimanapun, kerja-kerja penambahbaikan perabot jalan di kawasan jambatan masih diteruskan secara berperingkat bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terpelihara.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu dalam satu pemakluman memaklumkan, had muatan maksimum yang dibenarkan bagi kenderaan yang melalui jambatan berkenaan adalah 30 tan sahaja.
Sehubungan itu, pemandu khususnya pengguna kenderaan berat diminta mematuhi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan serta memastikan ketahanan struktur jambatan.
Semua pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda amaran dan arahan keselamatan serta sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.