KUALA TERENGGANU, 16 November – Terengganu menjadi antara hab baharu industri penternakan ayam di Pantai Timur menerusi pelaburan melebihi RM105 juta oleh CAB Cakaran Corporation Berhad bagi membangunkan tiga projek penternakan ayam komersial di negeri ini.
Pembangunan di atas tiga tapak tanah milik kerajaan negeri itu melibatkan Padang Ragut Damar Minyak, Setiu serta Padang Ragut Kampung Papan dan Cermin Kanan di Dungun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, fasa pertama projek berkenaan akan dibangunkan di Padang Ragut Damar Minyak, Setiu, melibatkan kawasan seluas 101.5 hektar dengan anggaran kos RM80 juta.
Menurutnya, projek itu disasarkan mampu menghasilkan sehingga 1.3 juta ekor ayam bagi setiap pusingan apabila beroperasi kelak.
Katanya, pembangunan berkenaan kini dalam proses mendapatkan Kebenaran Merancang, manakala pihak syarikat telah diberikan kebenaran masuk awal ke tapak bagi melaksanakan kerja-kerja awalan.
"Majlis menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Rizab Padang Ragut antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dan CAB Cakaran telah diadakan pada 12 Ogos lalu.
"Pejabat Tanah Setiu juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pencerobohan haram yang berlaku sebelum ini bagi membolehkan pembangunan projek berkenaan diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, fasa seterusnya melibatkan pembangunan Great Grandparent Stock (GGPS) atau Stok Moyang Ayam di Padang Ragut Kampung Papan, Dungun, seluas 284.7 hektar.
"Ia diikuti pembangunan ladang pengeluaran anak ayam di Padang Ragut Cermin Kanan, Dungun, yang meliputi kawasan seluas 28.43 hektar," ujar beliau.
Menurutnya, kelebihan CAB Cakaran yang merupakan syarikat penternakan ayam kedua terbesar di Malaysia adalah memiliki rantaian pengeluaran lengkap merangkumi ladang biak baka, pengeluaran anak ayam, kilang makanan, ladang ternakan serta industri pemprosesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Azman berkata, sebuah lagi syarikat, Huat Lai Resources Berhad (HLRB), turut membangunkan ladang ayam penelur di atas tanah milik syarikat itu di Hulu Terengganu.
" Projek berkenaan disasarkan mampu menghasilkan sehingga sejuta biji telur sehari dan bakal menjadi ladang ayam penelur pertama serta terbesar di Pantai Timur," katanya lagi.
Jelasnya, HLRB yang merupakan syarikat perladangan ayam penelur terbesar di Malaysia ketika ini menghasilkan kira-kira lapan juta biji telur sehari dengan operasi sebelum ini lebih tertumpu di Pantai Barat.
"Projek di Hulu Terengganu itu kini dalam proses menukar syarat tanah kepada tanah industri," kata Dr.Azman.
Sementara itu, beliau juga berkata, jumlah ladang ayam pedaging yang beroperasi di Terengganu sehingga Mei 2026 ialah sebanyak 153 ladang.
Menurutnya, pengeluaran daging ayam negeri itu turut meningkat kepada 42,889.90 tan metrik pada 2025 berbanding 40,641.17 tan metrik pada 2024, iaitu pertambahan sebanyak 2,246.73 tan metrik.
"Malah, tahap sara diri (SSR) daging ayam negeri turut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.07 mata peratusan daripada 73.49 peratus pada 2024 kepada 76.56 peratus tahun lalu, " ujarnya.