KUALA TERENGGANU, 16 November – Proses perolehan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) Stesen ECRL Jerteh di Besut bernilai RM16 juta dijadualkan pada 26 November ini, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 1 Mac 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek yang merangkumi pembinaan sebuah terminal transit serta pelbagai kemudahan sokongan itu dianggarkan mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.
Menurutnya, projek berkenaan kini berada pada peringkat penyelarasan keperluan dan penyediaan dokumen sebelum proses perolehan dilaksanakan.
“Pada masa ini, JKR Negeri Terengganu sedang menyediakan dokumen Kehendak Kerajaan bagi mengenal pasti dan mendokumenkan keperluan projek dengan jelas sebelum reka bentuk dimuktamadkan.
“Proses perolehan projek dijadualkan pada 26 November 2026, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 1 Mac 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.
Hanafiah berkata, selain terminal transit, pembangunan itu turut merangkumi surau, pondok pengawal, tandas serta ruang perniagaan melibatkan kedai dan kiosk untuk disewakan.
Laluan pejalan kaki berbumbung juga akan dibina bagi menghubungkan Stesen ECRL Jerteh dengan kawasan pusat pengangkutan untuk memudahkan pergerakan penumpang.
“Selain itu, kemudahan laluan keluar masuk terminal, lampu jalan solar, lampu limpah (high mast), sistem saliran, pemuliharaan cerun dan landskap turut menjadi sebahagian daripada skop pembangunan,” jelasnya.
Mengulas mengenai persediaan projek, beliau berkata, JKR negeri telah menerima cadangan skop pembangunan daripada Majlis Daerah Besut.
Beberapa mesyuarat penyelarasan turut diadakan di peringkat daerah dan negeri, melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu serta jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan pembangunan diselaraskan dengan teratur.