Berita :
'Jangan Jadi Hak Peribadi' - Pelampung Tukun Tiruan Di Pantai Penunjuk Dipotong
'Jangan Jadi Hak Peribadi' - Pelampung Tukun Tiruan Di Pantai Penunjuk Dipotong
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
200

KIJAL, 22 Jun – Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu memotong pelampung penanda tukun tiruan di Pantai Penunjuk, dekat sini, mengundang kekecewaan kerajaan negeri yang menyifatkan perbuatan tersebut seolah-olah mahu memonopoli khazanah laut berkenaan.

Kejadian yang dikesan baru-baru ini melibatkan tukun tiruan yang baru sahaja dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, beliau menerima laporan mengenai vandalisme tersebut daripada Jabatan Perikanan.


Beliau mengingatkan secara tegas kepada semua pihak agar tidak mementingkan diri sehingga sanggup merosakkan harta awam yang disediakan demi kepentingan komuniti nelayan secara keseluruhan.

"Sila laporkan segera kalau didapati ada yang jadikan tukun ini macam milik peribadi mereka. Kita akan ambil tindakan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Azman turut menyeru komuniti Kijal untuk bersama-sama menjadi mata dan telinga kerajaan negeri bagi memantau kawasan perairan berkenaan daripada terus dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, lokasi penempatan tukun tiruan tersebut sememangnya sudah berada dalam makluman komuniti nelayan tempatan, justeru pengawasan rapi daripada warga Kijal amat diperlukan.

Tukun tiruan dilabuhkan bertujuan untuk memulihara ekosistem marin, menjadi tempat pembiakan ikan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan nelayan pesisir pantai secara adil, bukannya untuk dijadikan hak milik peribadi mana-mana individu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan