Berita :
Jawatankuasa Pertanian Terengganu Sedia Pelan Alternatif Hadapi Risiko Lambakan Durian
Jawatankuasa Pertanian Terengganu Sedia Pelan Alternatif Hadapi Risiko Lambakan Durian
Hidayah Azlin
16 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu sedia mengaktifkan pelan alternatif pemasaran sebagai langkah proaktif bagi mendepani risiko lambakan raja buah itu berikutan unjuran hasil pengeluaran yang amat menggalakkan pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, cuaca dan faktor semasa menyaksikan kualiti hasil durian di negeri ini menjadi sangat baik pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui situasi itu secara lumrahnya akan memberi kesan langsung kepada trend pasaran semasa.

"Durian menjadi molek tahun ini. Harga memang akan jatuh. Setakat ini belum berlaku lambakan," katanya dalam satu kenyataan. 

Mengulas lanjut, Dr. Azman menegaskan pihak kerajaan negeri tidak memandang remeh situasi berkenaan dan komited memastikan kebajikan para pekebun dan pengusaha tempatan terus terbela sekiranya berlaku senario pengeluaran melebihi permintaan (oversupply).

Jelas beliau, persediaan rapi telah diatur menerusi pelbagai strategi pemasaran alternatif bagi memastikan rantaian bekalan durian berkenaan kekal stabil tanpa merugikan mana-mana pihak.

"Kita bersedia dengan pelan alternatif pemasaran dalam situasi pengeluaran melebihi permintaan," ujarnya lagi.

Langkah sedemikian dijangka melibatkan kerjasama pelbagai agensi pertanian negeri bagi meluaskan akses pasaran, selain menggalakkan aktiviti industri asas tani berasaskan hiliran durian sekiranya pasaran segar mengalami kebanjiran stok yang mendadak.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan