KUALA TERENGGANU, 13 Mei — Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir di sini, petang tadi, apabila jenazah dua beradik yang ditemukan lemas di Sungai Jeram Pasar semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ali Abu Bakar berkata, urusan pengebumian kedua-dua mangsa selesai selepas solat jenazah dilaksanakan di Surau Saidina Umar, Pasar Jeram kira-kira jam 2 petang.
“Jenazah kedua-dua mangsa telah disembahyangkan bersama ahli keluarga, penduduk kampung serta sahabat handai sebelum dibawa ke tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian petang semalam, dua mangsa berkenaan, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira jam 6 petang.
Kedua-dua mereka ditemukan di dasar sungai pada jarak hampir 50 meter dari lokasi kejadian dengan kedalaman sekitar tujuh meter.

Dua lagi mangsa, Noor Shaqira Abdul Fatah dan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, masing-masing berusia 12 tahun, bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah rakan-rakan mangsa serta guru-guru dari Sekolah Menengah Datuk Haji Abdul Rahman Limbong dan Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong.

Tag :