Berita :
JPJ Terengganu Terima Lucut Hak Lori Lebih Muatan
JPJ Terengganu Terima Lucut Hak Lori Lebih Muatan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
95

KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Mahkamah Tinggi Terengganu mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap sebuah syarikat dalam kes lebihan muatan, sekali gus menambah bilangan preseden penting berkaitan pelucuthakan kenderaan. 

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu hari ini, mahkamah telah menolak rayuan syarikat berkenaan serta mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Berang yang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM11,000.00 dan Perintah Lucut Hak ke atas kenderaan terlibat kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia.

Keputusan berkenaan merupakan kes pertama dalam sejarah JPJ Terengganu yang melalui proses perbicaraan penuh sehingga ke peringkat Mahkamah Tinggi dan berjaya mengekalkan perintah pelucuthakan kenderaan. 

"Kes ini melibatkan kesalahan sebuah lori di bawah Seksyen 57(1)(a) dan (b)(vi) dibaca bersama Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), dengan Pelanggaran Syarat Lesen Pengendali apabila membawa muatan balak melebihi berat yang dibenarkan dengan lebihan sebanyak 95.88%. 

"Perbicaraan kes ini berlangsung selama setahun bermula September 2024 hingga September 2025, melibatkan keterangan daripada sembilan (9) saksi," jelas kenyataan tersebut.

Keputusan itu dijangka memberi impak besar kepada industri pengangkutan komersial, khususnya dalam mengubah persepsi bahawa kesalahan lebihan muatan boleh dianggap sebagai kos operasi biasa. 

Sebaliknya, tindakan pelucuthakan aset fizikal membuktikan bahawa pelanggaran serius boleh mengakibatkan kehilangan terus aset syarikat, sekali gus menjadi langkah pencegahan yang lebih berkesan. 

Dalam pada itu, JPJ menegaskan bahawa penguatkuasaan terhadap kesalahan lebihan muatan akan terus diperkukuh, khususnya melibatkan risiko keselamatan jalan raya sertakerosakan infrastruktur awam. 

"Semua pengendali kenderaan komersial diingatkan agar sentiasa mematuhi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas termasuk pelucuthakan kenderaan," jelasnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan