Jalur Gemilang
Berita :
Kenyir Geopark Perlu Perkukuh Persiapan Hadapi Penilaian Semula 2027
Kenyir Geopark Perlu Perkukuh Persiapan Hadapi Penilaian Semula 2027
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
1 hari yang lepas
39

MARANG, 12 November – Kenyir Geopark perlu memperkukuh aspek pengurusan, pemuliharaan, penyelidikan dan penglibatan komuniti setempat sebagai persediaan menghadapi proses penilaian semula status Geopark Kebangsaan pada 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, persediaan awal penting bagi memastikan Kenyir Geopark terus mengekalkan pengiktirafannya serta berkembang sebagai destinasi geopelancongan negeri.

“Persediaan perlu dibuat dari sekarang. Kita perlu terus memperkukuhkan aspek pengurusan, pemuliharaan, kemudahan, promosi, penyelidikan dan yang paling penting, penglibatan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Terbuka Kenyir Geopark 2026 di Dataran Kuala Berang, hari ini.

Menurut beliau, Kenyir Geopark turut mempunyai potensi jangka panjang untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark yang memerlukan komitmen, kerjasama dan kesungguhan semua pihak.

Dalam aspek pembangunan komuniti, beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Kursus Geowarisan dan Anyaman Tradisional bersama komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua dengan kerjasama Jabatan Kraftangan Terengganu.

Turut dilaksanakan Kursus Informasi Kenyir Geopark untuk Komuniti Pelancongan Tasik Kenyir, Akademi Kemahiran Belia Orang Asli menerusi latihan gunting rambut serta Kursus Kemahiran untuk Belia Kenyir Geopark dengan kerjasama TESDEC.

Selain itu, kerjasama bersama RISDA sedang dirancang bagi melaksanakan Program Agro Lestari Komuniti Orang Asli Kenyir Geopark.

Dalam usaha memperluas pendidikan berkaitan geopark, Jawatankuasa Kerja Kenyir Geopark turut melantik empat sekolah angkat baharu tahun ini, iaitu MRSM Hulu Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, SMK Tengku Ampuan Intan dan SMK Kuala Jenderis.

Pelantikan itu menjadikan keseluruhan lima sekolah angkat Kenyir Geopark termasuk SMK Jenagor yang dilantik sebelum ini.

Program Hari Terbuka Kenyir Geopark yang berlangsung selama dua hari turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran agensi, pertandingan, forum dan sesi perkongsian ilmu bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Universiti Malaysia Terengganu serta Majlis Pengurusan Taman Negeri.

Razali berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian dan sokongan terhadap pembangunan Kenyir Geopark serta sektor pelancongan di Hulu Terengganu bagi memastikan khazanah alam dan warisan budaya daerah itu dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, peningkatan pendapatan masyarakat serta tarikan pelancongan berkualiti.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan