Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Giat Naik Taraf Fasiliti Pelancongan
Kerajaan Negeri Giat Naik Taraf Fasiliti Pelancongan
Noraini Jusoh
11 jam yang lepas
33

KUALA TERENGGANU, 19 November – Kerajaan Negeri terus memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf kemudahan asas serta memperkukuh potensi lokasi pelancongan yang sesuai dibangunkan sebagai produk ekopelancongan dan tarikan pelancongan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, menerusi peruntukan RM2.766 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan tahun ini, ia akan dimanfaatkan untuk kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti pelancongan terpilih di seluruh Terengganu.

 “Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan khusus bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Air Terjun Saok, Tasik Kenyir yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung.

“Selain itu, kawasan Lata Ulu Kekabu di Setiu turut menerima perhatian apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meluluskan peruntukan RM2 juta pada tahun ini menerusi projek ekopelancongan serta Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut melihat potensi pembangunan produk ekopelancongan baharu menerusi kejayaan pelaksanaan projek perintis Santuari Kelah di Lata Ulu Kasar, DUN Langkap yang berpotensi menjadi tarikan pelancong.

Dalam perkembangan berkaitan, cadangan membina jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol serta kemudahan lain di Mukim Kuala Dungun turut diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) 2026 dengan kos projek berjumlah RM5.9 juta.

Sementara itu Razali berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada 2027 bagi memperkasa penduduk setempat melalui pembangunan produk pelancongan berteraskan keunikan, warisan, budaya dan potensi tempatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membuka peluang keusahawanan, malah berupaya mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada komuniti setempat," ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan