KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM3 juta bagi kerja penyelenggaraan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung Kuala Ibai yang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ikon negeri itu terus berada dalam keadaan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Peneranga, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerja penyelenggaraan berkenaan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula Ogos tahun ini dan dijangka selesai pada Disember 2027.

"Sebenarnya banyak gambar-gambar yang kita dapat lihat kalau orang cerita tentang binaan masjid di Malaysia, salah satu gambarnya ialah Masjid Terapung.
"Jadi kita menyedari sebenarnya masjid ini perlu diselenggarakan kerana sudah lama tidak diselenggarakan dan kita buat secara berperingkat mengikut kemampuan bajet yang ada kepada Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya turut memperoleh peruntukan bagi kerja penyelenggaraan seperti mengecat dan membaiki kemudahan yang diperlukan.
"Dua tahun lepas kita dapat tarik sedikit bajet untuk buat penyelenggaraan masjid, cat baru dan baiki benda-benda yang sepatutnya.
"Dan tahun ini kita berjaya dapat bajet daripada Kerajaan Negeri kurang lebih sebanyak hampir 3 juta untuk kita buat projek penyelenggaraan yang diselenggarakan oleh pihak JKR," jelasnya.

"Walaupun begitu, masjid tetap dibuka. Umat Islam, pelawat-pelawat boleh datang melawat seperti biasa dan akan ada notis-notis daripada semasa ke semasa," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan orang ramai untuk menambah kemudahan termasuk tandas akan diteliti dari semasa ke semasa, namun ia perlu mengambil kira struktur masjid yang dibina di atas permukaan air.
"Cuma kita perlu memahami bahawa struktur masjid ini dia berbeza dengan struktur masjid-masjid yang lain kerana dia berada di atas permukaan air.
"Jadi kalau nak tambah agak payah, jadi dia kena kekalkan dengan keadaan yang sedia ada.
"Isu tandas ini sebenarnya ada tandas tambahan di sebelah parkir masjid itu, ada tandas tambahan di bawah pengendalian MBKT," katanya.
Penyelenggaraan berskala besar melibatkan pengeringan kolam di sekeliling masjid itu merupakan kali pertama dilaksanakan sejak 32 tahun Masjid Tengku Tengah Zaharah siap dibina pada 1994.
Antara bahagian yang akan dibaikpulih dalam proses penyelenggaraan itu termasuklah bahagian bawah masjid, tiang serta rasuk bumbung.
Keadaan tasik yang dikeringkan turut mendedahkan struktur konkrit, teritip serta permukaan tidak rata yang boleh membahayakan keselamatan
Sehubungan itu, Dr. Khalil menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak pengurusan masjid dan kontraktor, khususnya ketika kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.
"Apa-apa pun kena tengok kepada nasihat daripada pihak pengurusan masjid.
"Sebenarnya sudah ada label-label yang telah di letak di situ jadi ikut nasihat pihak pengurusan masjid dan juga kontraktor yang membuat penyelenggaran projek tersebut.
"Ia bukan sahaja isu yang disebutkan tadi.
"Yang lebih besarnya isu keselamatan, kerana kita nak jaga keselamatan pengunjung-pengunjung," katanya ketika mengulas mengenai larangan menangkap ikan didalam kolam masjid tersebut.