Berita :
Kerajaan Negeri Siasat Punca Air Keruh Santuari Kelah
Kerajaan Negeri Siasat Punca Air Keruh Santuari Kelah
Hafiz Rosli
17 jam yang lepas
129

KUALA TERENGGANU, 28 April – Kerajaan Negeri memandang serius kejadian air keruh yang dilaporkan berlaku di kawasan Santuari Kelah, Tasik Kenyir dan kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Razali Idris berkata, isu tersebut mula dikesan pada Khamis lalu dan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.

"Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bersama agensi berkaitan, termasuk meneliti dakwaan yang mengaitkan kekeruhan air dengan aktiviti di kawasan berhampiran Tasik Kenyir.

“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir akan dipantau secara ketat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Razali turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran syarat atau peraturan, khususnya melibatkan kawasan sensitif seperti Santuari Kelah.

Dalam masa sama, langkah mitigasi segera akan dilaksanakan bagi memastikan kualiti air dan habitat ikan kelah tidak terjejas, selain pemantauan kualiti air yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini hasil siasatan tersebut.

"Kerajaan Negeri kekal komited memastikan pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir dilaksanakan secara lestari, selamat dan bertanggungjawab, dengan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar terus dipelihara untuk generasi akan datang," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan