Jalur Gemilang
Berita :
Kesedaran Undang-Undang Perkasa Wanita Pertahan Hak
Kesedaran Undang-Undang Perkasa Wanita Pertahan Hak
Mohamad Farhan Anam
22 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU – Program Memperkasa Wanita Melalui Kesedaran Undang-Undang 3.0 di bawah naungan Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman wanita terhadap hak dan tanggungjawab mereka di sisi undang-undang.

Program anjuran NGO PRUHART dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan memahami aspek perundangan, khususnya dalam menghadapi isu melibatkan diri, keluarga dan masyarakat.

Dalam ucapan perasmian, Zuraida berkata, wanita yang mempunyai ilmu dan pengetahuan mengenai undang-undang akan lebih yakin dalam membuat keputusan serta berani mempertahankan hak melalui saluran yang betul.

“Wanita yang berilmu akan lebih yakin, lebih berani dan mampu membawa perubahan kepada keluarga serta masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kesedaran mengenai undang-undang bukan sekadar untuk mengetahui hak, malah penting supaya wanita memahami tanggungjawab masing-masing dan tidak mudah berasa terpinggir apabila berdepan sesuatu permasalahan.

“Wanita perlu tahu hak mereka dan pada masa sama memahami tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Jika berdepan sesuatu permasalahan, jangan takut untuk mendapatkan pembelaan melalui saluran yang betul,” katanya.

Zuraida berkata, usaha memperkasa wanita juga tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program atau latihan selesai, sebaliknya ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan dikongsi bersama komuniti.

Katanya, wanita yang memahami hak serta saluran undang-undang yang tersedia mampu menjadi sumber rujukan kepada keluarga dan masyarakat, selain membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita lain.

Beliau turut berharap peserta memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang diperoleh dan menyebarkannya kepada komuniti masing-masing.

“Insya-Allah, usaha memperkasa wanita melalui ilmu dan keyakinan akan terus kita dukung bersama.

“Kita mahu lebih ramai wanita berani bersuara, mengetahui hak mereka dan mampu menjadi penggerak perubahan dalam keluarga serta masyarakat,” katanya.



Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan