Jalur Gemilang
Berita :
Keselamatan di Air Terjun Chemerong dipertingkat
Keselamatan di Air Terjun Chemerong dipertingkat
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
62

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Aspek keselamatan pengunjung di Air Terjun Chemerong akan dipertingkat susulan kematian seorang penolong pegawai perubatan di kawasan berkenaan pada 2 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, langkah itu meliputi pemasangan papan tanda amaran, pengukuhan pemantauan serta penambahbaikan prosedur menghadapi kecemasan.

Menurutnya, arahan telah diberikan kepada Pejabat Hutan bagi memastikan langkah keselamatan di lokasi berkenaan dipertingkatkan.

“Saya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham penolong pegawai perubatan yang meninggal dunia di Air Terjun Chemerong pada 2 Oktober lalu.

“Saya sendiri baru sahaja melalui laluan CBL (Chemerong–Berembun–Langsir) selama dua hari satu malam. Pengalaman itu mengingatkan kita bahawa aktiviti pendakian memerlukan tahap kecergasan fizikal dan persediaan yang baik,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada 4 Oktober.

Razali berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya kapasiti tampung pengunjung di kawasan berkenaan ditingkatkan daripada sekitar 70 kepada 200 orang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu perlu disokong dengan penggunaan khidmat malim gunung berlesen secara optimum bagi membantu menjaga keselamatan dan mengawal pengunjung.

“Air Terjun Chemerong memang sangat cantik dan menjadi antara tarikan rekreasi alam semula jadi Terengganu. Tetapi keindahan alam datang bersama risiko yang perlu kita hormati.

“Pengunjung mesti datang dengan persediaan yang cukup, kecergasan yang sesuai dan memahami risiko perjalanan. Pada masa yang sama, aspek keselamatan di lokasi juga mesti terus kita perbaiki,” ujarnya.

Beliau menegaskan, keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam pengurusan kawasan rekreasi alam semula jadi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan